Hubungi Kami
EN BM

BEDUAN

Beduan merupakan persembahan kesenian yang tertua di negeri Perlis. Kesenian ini muncul kira-kira 250 tahun yang lalu pada zaman pemerintahan Siam. Ia mula diperkenalkan oleh dua buah keluarga yang bersembunyi di atas puncak Bukit Tuk Wang Gunung bagi mengelakkan keganasan dan kekejaman tentera Siam. Di puncak bukit, keluarga tersebut berasa kesunyian dan mereka telah memukul keratan batang kayu sebagai gendang sambil menyanyi secara melaung-laung. Setelah peperangan berakhir, kedua-dua keluarga ini kembali ke kampung halaman mereka lalu memperkenalkan kesenian tersebut kepada penduduk kampung dan diberi nama Beduan yang berasal daripada perkataan "berdua-duaan". Kesenian ini amat popular semasa acara kenduri perkahwinan. Laungan nyanyiannya yang nyaring menjadi tanda penunjuk kepada tetamu menuju ke rumah pengantin tersebut. Tradisi Beduan ini biasanya dipersembahkan di atas balai yang dibina bersambung dengan rumah utama pengantin. Tetamu dan penonton akan berdiri di hadapan rumah bagi menyaksikan persembahan ini. Ahli kumpulan Beduan terdiri daripada 10 sehingga 12 orang. Mereka memukul gendang sambil menyanyi dan melaung-laung. Gendangnya agak besar, ukur lilitnya kira-kira 140sm yang diperbuat daripada belulang lembu, kayu nangka atau temak. Terdapat tiga jenis gendang yang digunakan iaitu Gendang Pengibu, Gendang Peningkah dan Gendang Penganak. Dalam nyanyian Beduan, si pemukul gendang akan berbalas pantun dengan ahli yang lain. Akan tetapi ahli Beduan sahaja yang dapat memahami pantun tersebut kerana mereka menggunakan dialek yang difahami di kalangan mereka. Di antara pantunnya berbunyi:

Anak ayam di dalam celepa,
Buka tudung patuk padi,
Siang malam aku tak lupa,
Kasih terkandung di dalam hati.

Mr. Mahmud Hashim
Simpang 3,
Kampung Baru Syed Omar,
01000 Kangar,
Perlis.
Tel : 012-468 7728

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768