Hubungi Kami
EN BM

ADAT RESAM DAN BUDAYA MASYARAKAT CINA: PERKAHWINAN - BERTUNANG

PERINGKAT BERTUNANG

Hari pertunangan dilakukan berdasarkan kalendar Cina dan hendaklah bersesuaian dengan bintang-bintang kelahiran pasangan tersebut. Khidmat tukang tilik digunakan untuk penetapan tarikh berpandukan buku Toong-Su. Ini penting kerana jika dilakukan pada waktu yang tidak sesuai dipercayai akan ditimpa bencana dan perkahwinan mengalami kegagalan. Pada masa inilah bakal pengantin lelaki berkunjung ke rumah bakal pengantin perempuan untuk menunaikan permintaan. Upacara bertukar cincin dilakukan mengikut masa yang ditetapkan. Cincin disarung di jari manis kiri kedua-dua bakal pengantin sehingga hari perkahwinan. Bagi membuktikan persetujuan, gadis berkenaan menyerahkan sekeping kertas merah iaitu Nyen-Sang yang bertulis nama gadis, umur dan tarikh lahirnya yang didapati daripada tukang tilik.

Setelah Nyen-Sang diterima si lelaki mengadakan persediaan dengan memberikan maklumatnya bersama-sama dengan Nyen-Sang tersebut kepada tukang tilik yang akan menghitung hari dan masa yang sesuai berdasarkan maklumat pasangan berkenaan yang diterima, dan dicatat pada sehelai kertas merah dinamakan Nyik-Sor. Ramalan penentuan hari yang sesuai dibuat berdasarkan tahun kelahiran pasangan berkenaan. Setelah mendapat tarikh dan masa yang sesuai tukang tilik menyediakan dua keping kertas Nyik-Kor dan diberikan kepada pasangan yang hendak berkahwin itu. Nyik-Kor mengandungi peraturan-peraturan dan adat-adat tertentu yang perlu diikuti oleh kedua bakal pengantin.

Hantaran dan mas kahwin lazimnya diberi semasa upacara tukar cincin perkahwinan atau pada hari lain seperti hari istiadat perkahwinan yang diadakan di Pejabat Pendaftaran Perkahwinan. Antara hantarannya ialah sebentuk cincin emas, sepersalinan pakaian, kain dan wang tunai. Sekiranya pihak lelaki tidak menyediakan barang hantaran yang cukup maka sejumlah besar wang tunai akan diberi. Semakin besar mas kahwin yang diberikan semakin tinggi martabat dan kedudukan pihak lelaki. Berserta dengan penghantaran mas kahwin, keluarga pengantin perempuan diberitahu tarikh perkahwinan dan rundingan akan dibuat dengan pengantin perempuan.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Selangor

Lot 22.2 Tingkat 22, Wisma MBSA,
Persiaran Perbandaran,
40000 Shah Alam Selangor Darul Ehsan.
Tel : 03-5510 2664
Fax : 03-5510 2839

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768