Hubungi Kami
EN BM

ADAT RESAM DAN BUDAYA MASYARAKAT CINA: KEMATIAN - SEMASA KEMATIAN

KEMATIAN: SEMASA KEMATIAN

Masyarakat Cina begitu berpegang teguh kepada adat resam yang berkaitan dengan kematian, yang setiap adat itu mempunyai maksud tersendiri. Apabila berlaku kematian mayat dibersihkan dan dimandikan sebagai memberi penghormatan terakhir kepada si mati. Mayat disapu dengan minyak wangi dan disolek, bertujuan untuk mengharumkan si mati terutama apabila berada di alam akhirat. Mayat dipakaikan dengan pakaian yang cantik yang lazimnya dipakai ketika hari perkahwinan. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan masyarakat Cina menyimpan pakaian perkahwinan untuk dipakai sewaktu meninggal dunia. Si mati turut dipakaikan dengan aksesori lain, terutamanya wanita. Mayat dimasukkan ke dalam keranda yang diperbuat daripada kayu dengan ukiran menarik. Bagi yang kaya, keranda diukir dengan bersalutkan logam. Ini adalah untuk menunjukkan kedudukan seseorang semasa hidupnya.

Apabila berlaku kematian, ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai dikehendaki menangis atau meratapi pemergian si mati. Tangisan ini perlu dilakukan dengan kuat apabila si mati diletakkan di ruang tamu sehinggalah diusung ke kawasan perkuburan untuk ditanam. Lazimnya tangisan perlu diselitkan dengan kata-kata yang menunjukkan si mati telah membuat jasa. Kata-kata yang mengungkit keburukan si mati dilarang sama sekali kerana jika ini berlaku roh si mati tidak akan tenteram dan si mati akan tersiksa.  Tangisan ahli keluarga terutama ibu bapa atau saudara yang lebih tua lebih baik dan digalakkan. Ada juga segelintir masyarakat Cina yang melupuskan hutang piutang si mati dengan alasan untuk menenteramkan si mati agar tidak disoal di alam akhirat.

Pakaian ahli keluarga si mati adalah seperti jubah berwarna hitam, lengkap dengan topi. Mereka juga memakai baju jejaring yang diperbuat daripada jut atau sabut dan dipakai di bahagian luar baju hitam. Ketika mayat diusung dengan menggunakan lori khas beberapa kertas bersalut logam dicampak sepanjang perjalanan. Mengikut kepercayaan masyarakat Cina ini adalah untuk memastikan roh boleh berjalan pulang ke rumah berpandukan kertas tersebut.


Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Selangor

Lot 22.2 Tingkat 22, Wisma MBSA,
Persiaran Perbandaran,
40000 Shah Alam Selangor Darul Ehsan.
Tel : 03-5510 2664
Fax : 03-5510 2839

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768