Hubungi Kami
EN BM

ADAT RESAM DAN BUDAYA MASYARAKAT INDIA: KELAHIRAN: SELEPAS BERSALIN

MEMBAWA BAYI PULANG KE RUMAH

Bayi yang dilahirkan di hospital dibawa pulang ke rumah pada hari ketiga, kelima, ketujuh atau pada bilangan hari ganjil selepas kelahiran. Sebelum bayi dibawa masuk ke dalam rumah upacara aalati dilakukan untuk mengelak bala atau sebarang malapetaka. Untuk upacara ini dulang yang mengandungi serbuk kunyit, kapur sirih yang dicairkan, arang, sirih dan kapur barus yang dinyalakan diangkat dan diputar tiga kali. Seterusnya cumanggali mencelupkan ibu jarinya ke dalam bahan-bahan tersebut dan mencalitkan bahan berkenaan ke dahi ibu dan bayi. Isi dulang tersebut dibuang setelah ibu dan bayi masuk ke dalam rumah.

MANDI SELEPAS BERSALIN

Ibu dan bayi diasingkan daripada ahli keluarga yang lain di sebuah bilik khas. Bagi dua minggu pertama orang luar dilarang melawat melainkan atas tujuan perubatan. Jika proses bersalin secara pembedahan ibu tidak dibenarkan mandi atas sebab kesihatan fizikal yang lemah disebabkan pembedahan. Jika bersalin secara biasa ibu mandi selang sehari selepas bersalin. Herba-herba dan dedaun seperti aadatoodai dididihkan dan air rebusan digunakan untuk mandi. Rambut ibu dikeringkan menggunakan asap kemenyan.

Bayi dimandikan pada waktu petang dengan menyiram ke seluruh badan bayi menggunakan air suam bersama campuran pelbagai herba dan susu bagi mengelak penyakit sawan dan demam kuning. Urutan perlahan dilakukan pada tubuh bayi. Serbuk kunyit, minyak bijan, kas-kas dan kacang hijau yang ditumbuk halus digunakan sebagai pembersih badan bayi. Kemudian badan bayi dikeringkan dengan asap kemenyan dan disapu bedak daripada tepung beras. Masyarakat India juga mengamalkan bedung ke atas bayi yang baru dilahirkan.

MENDODOI BAYI

Upacara ini dipanggil taalaattu yang bermaksud penggoyangan lidah. Ia dimulakan dengan ucapan aaraaro aariraro atau kata-kata nasihat agar bayi membesar menjadi seorang yang berguna kelak.

MEMBERI NAMA

Sebaik sahaja bayi berusia 16 hari upacara pemberian nama dilakukan. Bayi dimasukkan ke dalam buaian. Upacara yang dikendali oleh ahli keluarga yang tertua dan arif tentang ilmu agama dimulakan dengan sembahyang sebagai tanda kesyukuran, dan membersihkan sekeliling rumah serta memasang lampu minyak. Kari ayam betina, telur rebus dan ikan kering disajikan sebagai persembahan kepada Tuhan. Kemudian nama bayi diumumkan. Pemilihan nama bayi kebiasaannya berkaitan dengan agama Hindu daripada tokoh sejarawan dan nenek moyang, serta mengikut tarikh kelahiran. Saudara mara yang hadir memberi pelbagai jenis hadiah.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Selangor

Lot 22.2 Tingkat 22, Wisma MBSA,
Persiaran Perbandaran,
40000 Shah Alam Selangor Darul Ehsan.
Tel : 03-5510 2664
Fax : 03-5510 2839

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768