Hubungi Kami
EN BM

ADAT PERPATIH NEGERI SEMBILAN

Pengenalan/Sejarah/Asal-Usul/Ciri-Ciri

Adat Perpatih yang diamalkan oleh masyarakat Minang yang berasal dari Tanah Minang atau Minangkabau di Sumtera, Indonesia, adalah sistem dan struktur sosial yang mencorakkan kehidupan masyarakat berasaskan konsep matrilini, disesuaikan dengan corak kehidupan bersuku melalui prinsip budi dan muafakat. Peraturan-peraturan ini terkandung dalam perbilangan adat yang dikenali sebagai kata pesaka, dan meliputi keseluruhan aspek kehidupan iaitu sosial, ekonomi dan politik. Adat yang diamalkan turun temurun ini menyarankan kaedah yang patut dilaksanakan oleh masyarakat agar dapat hidup secara lancar dan tenteram.

Adat ini mempunyai tatatertib sosial yang jelas dan anggota masyarakat yang berbudi, mengambil pengajaran daripada kejadian alam yang mengandungi falsafah hidup yang bernilai tinggi. Masyarakat digalakkan hidup bergotong-royong dan bantu membantu, sementara peraturan bagi seseorang untuk memasuki keluarga baharu ialah melalui perkahwinan atau orang semenda-menyemenda. Pembahagian kepada kumpulan perut, suku atau luak amat diutamakan. Dalam proses pengagihan harta pula adat ini amat menghormati kaum ibu (yakni wanita).

Adat ini juga mengatur cara pentadbiran masyarakat, pemilihan pemimpin serta bidang kuasa mereka mengikut lapisan dan tahap sosial di peringkat perut, suku dan luak. Selain mengamalkan pentadbiran secara hiraki dan demokratik, adat ini juga mengutamakan keadilan sejagat serta mewujudkan golongan pemimpin berlapis secara berperingkat.

Kekuatan adat ini terletak pada nilai muafakat, bahawa sebarang keputusan haruslah dicapai melalui mesyuarat (yakni perbincangan) dan berkampung. Masalah-masalah sosial, ekonomi mahupun politik dibincang secara permuafakatan bagi mencari penyelesaian bersama. Hasil yang dicapai bukan melalui undi majoriti tetapi perbicaraan sebulat suara.


Adat Perpatih Dalam Perspektif Sejarah

Masyarakat Minangkabau yang mewarisi adat ini mempercayai sepenuhnya bahawa Datuk Perpatih Nan Sabatang, juga dikenali sebagai Cati Bilang Pandai dan penasihat Sri Maharajo Dirajo, pemerintah pertama Minangkabau, telah mewujudkan sistem matrilini melalui keperibadian Ibu Kandung. Istilah Adat Perpatih hanya bermula semenjak kedatangan Islam pada abad ke-15, seiring dengan kewujudan adat ini di wilayah-wilayah yang kemudiannya membentuk gabungan Negeri Sembilan pada abad ke-18.

Adat Perpatih Di Negeri Sembilan

Pada abad ke-15 pantai timur Sumatera di Indonesia adalah sebahagian daripada wilayah Minangkabau di bawah pemerintahan Kesultanan Melaka di Tanah Melayu. Justeru, kedatangan masyarakat Minangkabau ke Tanah Melayu adalah amalan biasa. Mereka membawa masuk adat ini yang diterima dan mula berkembang terutamanya di kawasan Paya Kumbuh, Batu Hampar, Tanah Datar dan Seri Lemak.

Adat Perpatih di Negeri Sembilan dan Naning adalah gabungan adat ini yang diamalkan di Minangkabau dengan adat penduduk setempat dan berasaskan hukum syarak. Oleh itu, terdapat kelainan unsur adat ini di wilayah-wilayah tersebut dengan yang di Minangkabau yang mengandungi unsur-unsur merantau, berdagang atau berhijrah.

Suku Biduanda adalah suku utama daripada 12 suku dalam sistem Adat Perpatih Negeri Sembilan, dan terdapat dalam mana-mana jua wilayah adat atau luak kerana ini diamal oleh penduduk asal.

Sistem Adat Perpatih di Negeri Sembilan dikategorikan kepada empat bahagian, iaitu Adat Nan Sebenar Adat, Adat Nan Teradat, Adat Nan Diadatkan, dan Adat Istiadat.

1. Adat Nan Sebenar Adat

Adat ini termaktub dalam agama yang dibuat oleh Tuhan bagi mengatur kehidupan manusia, dan adat ini tidak dapat ditawar-tawar. Dalam Islam hukum tersebut diatur dalam Al-Quran dan Hadis, mengenai hal-hal yang dilarang yakni haram&dan diperbolehkan yakni halal.

2. Adat Nan Teradat

Adat ini adalah aturan hukum atau kebiasaan yang tercipta dengan sendirinya. Sebagai contoh, si peminjam yang meminjam sesuatu barang daripada orang lain maka hukumnya si peminjam harus mengembalikan pinjaman tersebut kepada yang meminjamkan.

3.Adat Nan Diadatkan

Adat ini adalah norma-norma dan hukum-hukum yang menjadi kebiasaan kemudian dipersetujui dalam muafakat untuk dijadikan acuan dalam mengatur kehidupan masyarakat di sesuatu wilayah atau negara.

4. Adat Istiadat

Adat ini adalah kebiasaan dalam sesuatu masyarakat dan kemudian menjadi norma yang berterusan dan berkembang. Adat ini tiada hukum, namun yang tidak mengamalkannya biasanya dicela. Sebagai contoh, kebiasaannya orang yang lebih muda mencium tangan seseorang yang lebih tua daripadanya. Ini bermakna sebagai wujud penghormatan dan sopan santun dalam masyarakat timur.



Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan

Kompleks JKKN Negeri Sembilan
Jalan Sungai Ujong
70200 Seremban , Negeri Sembilan Darul Khusus
Tel : 06-767 6793
Faks : 06-763 4417

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768