Hubungi Kami
EN BM

ADAT PERPATIH NEGERI SEMBILAN: ADAT ISTIADAT KERJAN ATAU MENABAL

Pengenalan/Sejarah/Asal-Usul/Ciri-Ciri

Istiadat Kerjan atau Menabal adalah upacara wajib bagi mengistihar pelantikan DatoPenghulu Luak atau DatoLembaga Negeri Sembilan yang baharu.Jawatankuasa Adat Istiadat Dato-Dato Lembaga yang terdiri daripada Dato Paduka Tuan, Dato Shahbandar, Buapak dan Soko akan mendapatkan kata sepakat untuk menetapkan tarikh yang sesuai bagi mengadakan istiadat ini di Balai Penghulu Luka.

Yang perlu hadir pada hari pengisytiharan tersebut ialah Penyelia Adat Istiadat Istana Besar Seri Menanti Negeri Sembilan selaku wakil Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Pegawai-Pegawai Daerah, Pegawai-Pegawai Agama Daerah, Ketua-Ketua Polis Daerah dan pegawai-pegawai kerajaan selaku wakil kerajaan, serta anak-anak buah yang dilantik.

Dato Lembaga yang baharu dimandikan dengan air limau nipis di atas kerusi tiga tingkat sebagai tanda Dato itu sudah bersih. Kemudian Dato dipakaikan pakaian Melayu dan didudukkan di atas Tilam Pandak di serambi rumah.
Kenduri diadakan secara gotong-royong dengan sembelihan lembu yang kepalanya dipertonton kepada umum.

Persiapan Istiadat

Persiapan istiadat meliputi menghias balai seperti berikut:

Kawasan Atas Balai:

  • Kain-kain hitam dan putih digantung pada tiang balai di bahagian tengah sudut. Tiang-tiang lain dililit dengan kain berwarna serta dipasang Tabir Langit dan Tabir Lingkung.
  • Kain Tabir Lingkung menutupi keseluruhan serambi. Tabir Langit menghiasi ruangan anjung dan di pangkal balai. Ruangan anjung juga dipasang dengan Gunung Berangkat, Bantal Gadang, dan dua buah Tilam Pandak beralaskan Tikar Berompok di kiri dan kanan bawah tilam.

KawasanBawah Balai:

  • Di hujung halaman dipasang kesemuanya tiga pasang panji-panji seperti kedudukan berikut: Di kanan bendera kain putih, di kiri bendera kain hitam, sementara di tengah bendera hitam putih runcing tajam berserta payung kebesaran.
  • Di kiri halaman balai dihiasi senjata tombak berambu, pedang, payung kebesaran, kain hiasan panjang dipanggil ular-ular, dan panji-panji kebesaran dipanggil tonggol.



Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan

Kompleks JKKN Negeri Sembilan
Jalan Sungai Ujong
70200 Seremban , Negeri Sembilan Darul Khusus
Tel : 06-767 6793
Faks : 06-763 4417

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768