Hubungi Kami
EN BM

ADAT RESAM DAN BUDAYA MASYARAKAT CHETTI MELAKA: SADANGGU ATAU SADENGGU

PENGENALAN

Melaka negeri bertuah kerana kaya dengan kepelbagaian etnik iaitu Chetii, Baba Nyonya dan Portugis yang semuanya hidup dalam aman dan harmoni. Setiap etnik bebas mengamalkan budaya masing-masing selagi tidak melanggar tatasusila dan batas kehidupan bermasyarakat di negeri ini. Setiap etnik ini masih mengamalkan adat dan budaya yang diwarisi.

Adat Sadanggu atau Sadenggu masyarakat Chetti khusus bagi anak dara sunti mereka yang telah akil baligh. Adat ini mempunyai elemen ritual dan keagamaan serta masih diamalkan. Antara keperluan untuk upacara ini ialah pelamin yang berhias, peralatan untuk upacara memusing, pakaian baju Melayu putih teluk belanga, baju kebaya panjang, sari, dan makanan tradisional.


PERINGKAT ADAT

Mengikut kepercayaan masyarakat Chetti, apabila si gadis mengalami haid buat kali pertama gadis itu tidak dibenarkan keluar rumah untuk mengelakkan dirinya didekati roh-roh jahat. Keluarga gadis tersebut juga tidak boleh ke kuil dan orang ramai juga tidak boleh berkunjung ke rumahnya kerana kekotoran pada gadis tersebut.

Peringkat-peringkat adat ini adalah seperti berikut:-

1. Upacara Mandi Restu

Adat ini dimulakan dengan memandikan anak dara sunti sewaktu matahari mula terbit, bertujuan membuang bala, saka atau roh jahat. Air mandian mengandungi kunyit dan tujuh jenis bunga. Sewaktu upacara mandi gadis memakai pakaian baju Melayu putih teluk belanga. Setelah selesai mandi restu gadis dibilas dengan air bersih. Pakaian mandi gadis berkenaan dibuang bertujuan membuang segala bala yang ada padanya. Kemudian gadis ini memakai baju kebaya panjang.

2. Jamuan Kuih Tradisional

Gadis sunti ini dijamu dengan kuih tradisional Chetti iaitu putu piring kosong.

3. Upacara Sadanggu atau Sadenggu

Gadis sunti dihias seperti pengantin lengkap dengan sanggul rapi, hiasan bunga di sanggul, rantai dan gelang serta duduk di bangku yang dihias dan beralaskan kain putih serta padi. Saudara mara gadis menyediakan satu dulang berisi nasi, air, tahi lembu kering, pelita, padi, putu piring, roti dan anak batu giling bagi upacara memusing. Ibu-ibu saudara yang sudah berkahwin sebelah bapa si gadis dan bapa-bapa saudara yang sudah berkahwin sebelah ibu gadis perlu menyediakan hadiah berupa hantaran kepada si gadis, iaitu sari, alat mekap, gelang, hiasan malai, sikat, cermin, kunyit dan buah-buahan.

Upacara ini dimulakan dengan bacaan jampi serapah Tok Sami kepada gadis sunti ini. Kemudian dulang yang berisi makanan dipusing-pusingkan di hadapan gadis oleh bapa dan ibu saudara si gadis. Hanya saudara mara seperti tersebut di atas sahaja dibenarkan mengendali upacara ini. Setelah itu setiap bapa dan ibu saudara gadis ini menyerahkan hantaran kepada si gadis. Setiap sari yang dihadiahkan perlu dipakai oleh si gadis. Sekiranya lima sari dihadiahkan maka si gadis perlu bertukar sari sebanyak lima kali. Akhir sekali bapa dan ibu saudara si gadis memakaikan bunga malai kepadanya secara bersilang yang bererti dia belum berkahwin.

Hadirin kemudian menikmati jamuan kuih-kuih tradisional seperti pulut tekan, seri kaya, tepung koma dan putu, atau masakan tradisional seperti, antaranya, pindang ikan, sambal timun dan sambal telur.


Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka

Kompleks JKKN Melaka, Lebuh Ayer Keroh,
Hang Tuah Jaya, 75450 Melaka
Tel : 06-2331787
Faks : 06-2331784

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768