Hubungi Kami
EN BM

ADAT RESAM PUPUTAN/POTONG JAMBUL

Upacara ini biasanya dilaksana selepas 40 hari bayi dilahirkan atau selepas si ibu habis tempoh berpantang. Saudara mara dan jiran tetangga diundang untuk majlis doa selamat dan berzanji beramai-ramai. Selesai berzanji bayi dibawa keluar ke ruang tamu dan Pak Imam, kaum keluarga, jiran serta mereka yang dikenali sebagai orang alim memotong sedikit jambul bayi sambil membaca doa atau berselawat agar bayi tersebut membesar dengan penuh keberkatan. Ada juga bayi yang dicukur sehingga botak licin. Rambut yang digunting atau dicukur dimasukkan ke dalam tempurung kelapa lalu ditanam di sekitar rumah.

Tuan rumah biasanya mengagihkan bunga telur dan bunga rampai kepada tetamu. Telur biasanya dimasak pindang supaya lebih tahan lama dan tidak mudah rosak. Turut diamalkan adalah upacara menabur beras berserta sejumlah duit syiling di ruang tamu sebaik sahaja majlis potong jambul tersebut selesai. Ini sebagai simbol apabila dewasa kelak bayi tersebut dimurahkan rezeki dan mudah mendapat makanan (perlambangan beras) dan menjadi kaya (perlambangan duit).

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Johor
Wisma Perkeso, Aras 6 Kiri,
No.26, Jalan Susur 5,
Off Jalan Tun Abdul Razak,
80200 Larkin, Johor Bahru, Johor.
Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768