Hubungi Kami
EN BM

PESTA PUJA PANTAI

PENGENALAN

Pesta Puja Pantai, dikenali juga sebagai Menjamu Hantu Laut atau Menyemah Pantai, adalah upacara popular golongan petani dan nelayan di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, terutamanya di Kelantan dan Terengganu, sebelum musim menangkap ikan. Di Melaka dikenali sebagai Temasya Mandi Safar.

Seekor kerbau balar (atau albino) biasanya disembelih dan bangkainya dihanyutkan ke laut bagi menenangkan semangat laut agar tidak membahayakan para nelayan ketika mereka menangkap ikan.  Upacara ini biasanya berlangsung selama beberapa hari dengan penduduk kampung mendirikan khemah dan pentas dengan pengisian pelbagai permainan.

SEMASA UPACARA

Upacara ini bermula dengan melumur kerbau dengan air laut sebelum disembelih pada waktu maghrib pada hari ketiga. Dagingnya dimasak untuk jamuan mereka yang hadir sementara kepala dan kulitnya disumbat dengan sabut kelapa kemudian dijahit untuk memberi daya apung semasa diluncurkan ke laut.

Pelbagai acara sampingan turut dipersembahkan seperti teater menora, mak yong dan wayang kulit, diiringi kumpulan muzik. Pawang dan pembantunya mempersembahkan sampan yang diperbuat daripada tepung beras, daun nipah dan bangkai kerbau tadi kepada penunggu laut dengan meluncurkan sampan tersebut ke laut lepas. Kemudian mereka kembali ke pantai dan ikut serta dalam majlis kenduri.

TUJUAN DAN MATLAMAT

Pesta ini bertujuan sebagai rawatan penyakit yang dipercayai berpunca daripada iblis dan syaitan. Pesta ini juga diadakan kerana berlakunya kemalangan yang berturut-turut di laut atau di pantai seperti kematian, kemalangan, tangkapan yang kurang, penyakit berjangkit dan sebagainya. Juga dilakukan apabila pawang atau bomoh mendapat mimpi yang penunggu atau hantu laut dan sebagainya meminta supaya diadakan pesta seumpama ini.

Upacara ini juga dilaksana kerana kepercayaan tentang adanya kuasa atau keupayaan penunggu atau jin-jin yang menghuni sesuatu tempat itu menguasai kehidupan manusia dan boleh mendatangkan penyakit, ribut taufan dan menghalau ikan jauh daripada rezeki nelayan, lalu makhluk-makhluk ini dipujuk dengan memberi makan dan sebagainya.

PERSPEKTIF MENURUT AJARAN ISLAM

Apabila seseorang menganggap adanya kuasa pada sesuatu makhluk maka orang berkenaan menyamakan kuasa atau kudrah yang ada pada Allah itu dengan kuasa yang ada pada makhluk berkenaan, padahal yang mempunyai kudrah itu hanya Allah. Penyamaan ini diistilahkan sebagai syirik.

KEBAIKAN DAN NILAI POSITIF

Daripada sudut positif, upacara sebegini berfungsi sebagai tempat perhimpunan petani dan nelayan bagi melepas penat selepas petani menuai tanaman, sementara bagi nelayan pula untuk berehat semasa musim ombak besar. Dalam perjumpaan ini mereka mengambil peluang berbincang tentang perkara-perkara berkenaan perkembangan dalam bidang masing-masing, seperti benih yang baik, ancaman makhluk perosak dan sebagainya. Justeru,  keraian seperti Pesta Puja Pantai ini menjadi pusat pertukaran maklumat penting bagi orang awam akibat ketiadaan sistem komunikasi awam masa itu.

Selepas Perang Dunia Kedua beberapa rencana dalam akhbar tempatan memperkecilkan upacara ini sebagai membazir dan bertentangan dengan ajaran Islam. Kerajaan negeri Kelantan pada tahun1959 menentang dan mengharamkan amalan ini yang kemudiannya diikuti oleh negeri-negeri lain di Semenanjung.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Terengganu

Kompleks JKKN Terengganu Kuala Ibai
20400 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman
Tel : 09 617 8831
Faks : 09 617 8832

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768