Hubungi Kami
EN BM

MUZIK MAKYONG & MAIN PUTERI

Rebab merupakan alat yang paling penting dalam muzik Makyong. Ia turut dimainkan dalam kesenian Main Puteri. Rebab mempunyai 3 bahagian iaitu pucuk rebung, batang dan muka. Tempurung muka dIbuat daripada kayu nangka atau sena dan ditutupi dengan kulit lembu. Busut kecil yang diperbuat daripada lilin lebah ditampal di penjuru sebelah kiri dipanggil "susu". Fungsinya ialah untuk mengimbangkan tekanan udara dalam dan luar. Masa dahulu, tali rebab diperbuat daripada benang besar dan kemudian menggunakan benang kasar. Sekarang pula mengunakan tali gitar, tali gambus atau tali biola. Penggesek rebab diperbuat daripada kayu dan tali tangsi. Pemain rebab dikenali sebagai Tok Minduk.

GONG

Gong atau tetawak turut memainkan peranan yang penting. Gong Ibu adalah lebih besar dari Gong Anak yang diperbuat dari tembaga. Bunyian Gong Ibu lebih rendah dari bunyian Gong Anak. Kedua-dua digantung dan dipisahkan oleh 2 batang kayu yang dinamakan mengembang. Pemukul diperbuat daripada kayu yang juga dinamakan mengembang yang hujungnya dibalut dengan kain atau kepingan getah. Gong Ibu akan dipukul  pada setiap bit terakhir sesebuah lagu manakala Gong Anak akan menentukan bit-bit tertentu. Aras ton gong yang menentukan keindahan muzik Makyong dan Main Puteri. Gong dianggap alat yang paling sukar untuk dimainkan dan memerlukan kemahiran yang tinggi kerana ia tidak mudah untuk diberi notasi.

GENDANG IBU & GENDANG ANAK

Gendang Ibu dan Gendang Anak diperbuat dari kayu nangka dan muka gendang ditutupi dengan kulit lembu dan kulit kambing. Pemukulnya diperbuat dari rotan dan kayu. Gendang Ibu dan Gendang Anak digunakan untuk mengawal tempo sesuatu lagu dalam persembahan Makyong dan Main Puteri.

SERUNAI

Serunai selalunya lebih sinonim dengan persembahan wayang kulit dan Rebab sinonim dengan Makyong dan Main Puteri. Walau bagaimanapun, mungkin ada kumpulan dan persembahan yang menggunakan serunai dalam mempelbagaikan kreativiti.

KESI

Kesi juga merupakan alat tambahan dalam muzik Makyong dan Main Puteri. Terdapat dua bahagian pada kesi iaitu empat piring dan dua kicah dan diperbuat daripada besi ataupun tembaga. Suara yang dihasilkan oleh kesi adalah memecah dan gemersik.

CANANG

Canang merupakan suatu alat tambahan dalam muzik Makyong juga Main Puteri. Terdapat Canang Ibu dan Canang Anak. Perbezaan canang boleh didengar melalui bunyi. Jika bunyinya kuat maka itu ialah Canang Ibu dan begitulah sebaliknya. Canang digunakan untuk mengawal tempo sesebuah lagu.

Puan Ruhani Mohd Zin

Kumpulan Makyong Kijang Emas
864 U , Jln. Padang Penjara
Cabang 3 Pengkalan Chepa
16100 Kota Bharu . Kelantan
Tel : 019-937 9523

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768