Hubungi Kami
EN BM

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM MELANAU: ADAT BEBAYUH

PENGENALAN

Kaum Melanau adalah salah satu kaum yang terbesar di Sarawak dan tinggal di kawasan Mukah. Sebahagiannya beragama Islam dan Kristian. Yang masih mengamalkan animisme memuja semangat Ipok iaitu manifestasi kekuatan dan kuasa alam. Ipok terdiri daripada Ipok Laut, Ipok Balau yakni hutan, Ipok Sarauang yakni langit dan Ipok Iyang yakni tanah.

Dalam perubatan tradisional manusia sakit kerana ketidakseimbangan badan dan tenaga alam melalui semangat jahat. Justeru, wujud Adat Bebayuh iaitu amalan perubatan animisme kaum ini.

HARI PERTAMA

Pada malam pertama bomoh sendirian dirumah setelah diberitahu berkenaan ada seseorang yang terkena penyakit. Bomoh tawar menawar dengan semangat termasuk mendapatkan permintaannya untuk upacara Bebayuh nanti.

HARI KEDUA

Hari kedua melibatkan pesakit dan bomoh di rumah bomoh atau di rumah pesakit bergantung kepada permintaan . Pada malam itu juga bomoh memaklumkan keluarga pesakit mengenai permintaan semangat. Penyediaan bahan dilakukan pada malam esoknya. Tarian Seladai dipersembahkan.

HARI KETIGA

Bahan-bahan untuk upacara Bebayuh ialah mayang pinang, pucuk mentel, isem pisai (daun palas kering yang akan dianyam seperti mayang pinang), bunga melur, dupa, gendang genayang, lilin, dan serpihan kaca di atas kain putih.

Dupa dibakar memulakan upacara dengan bacaan mantera menggunakan bahasa semangat iaitu semangat penjaga bomoh itu sendiri, sambil bomoh memalu gendang genayang yang digunakan untuk mengesan penyakit pesakit. Lilin dinyalakan di dalam gendang yang kemudian diletakkan di atas muka bomoh. Para pemuzik lain memainkan tadak, gendang tabuan, kulintangan, beduk, tetawak gong dan canang.

Selesai mengesan penyakit lilin itu ditelan bomoh. Mayang pinang diulit di badan pesakit. Semangat Ipok memasuki badan pesakit untuk merawatnya. Pesakit kemudian memijak serpihan kaca. Tarian seladai bermula ditarikan oleh tujuh orang lelaki dan tujuh orang perempuan yang belum berkahwin. Bomoh membawa isem pesai mengelilingi penari.

HARI KEEMPAT SEHINGGA HARI KEENAM

Kegiatan pada malam-malam ini adalah seperti malam kedua. Pesakit perlu melalui pantang larang seperti tidak boleh memakan ikan-ikan pari dan jerung, serta kacang dan telur.

HARI KETUJUH

Malam terakhir ini adalah malam putus ubat. Pesakit perlu menyediakan pengeras iaitu emas, lembing kecil (dibuat daripada tulang untuk makanan semangat), dan ayam hidup.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak

Tingkat 5, Bangunan Sultan Iskandar,
Jalan Simpang Tiga, 93300 Kuching, Sarawak.
Tel : 082-422006 / 082-423106
Fax : 082-244394

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768