Hubungi Kami
EN BM

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM ORANG ULU: SUKU KEDAYAN: ADAT MAKAN TAHUN

PENGENALAN

Adat Makan Tahun diadakan sekali setahun iaitu pada bulan Mei hingga Julai, bertujuan untuk memanjat kesyukuran kepada Tuhan atas pemberian hasil padi yang memberangsangkan. Adat ini harus diadakan meskipun terdapat dalam kalangan kaum ini tidak lagi menanam padi.

SEBELUM MAKAN TAHUN

Ketua, Penghulu dan Jawatankuasa Kampung berkumpul, biasanya pada hari Ahad, untuk menentukan tarikh sambutan. Tarikh yang dipilih hendaklah tidak bertembung dengan tarikh makan tahunkampung lain. Seminggu sebelum sambutan bendahari dan ketua kampung mengumpul usin (derma) daripada setiap pintu rumah. Pemberian bergantung kepada keikhlasan penghuni rumah. Kutipan ini bertujuan untuk membeli peralatan, ramuan masakan dan minuman untuk sambutan.

Dua atau tiga ekor kerbau dan beberapa ekor ayam disembelih sebagai pemula upacara. Kaum wanita bergotong royong membuat persiapan memasak manakala penduduk yang lain bergotong royong membuat persiapan majlis. Wanita yang mahir memasak diupah untuk memasak semua hidangan. Sajian bergantung kepada citarasa penduduk kampung. Biasanya adalah makanan tradisional kaum ini seperti umbut pisang, umbut sawi, daging masak kicap dan sayur lembidin masak tumis. Bilangan kelupis untuk hidangan tetamu adalah antara lima hingga enam biji dalam sesisir. Sebagai hiburan sampingan pihak perempuan bergendang sambil menjual pantun kepada pihak lelaki yang bertandak sambil berpantun.

SEMASA MAKAN TAHUN

Penduduk kampung bersiap dan berkumpul di teratak yang dibina khas untuk majlis ini. Acara pertama adalah upacara persemahan yang di ketuai oleh pawang. Beberapa batang kayu dipacakkan ke tanah dan pawang membaca mantera memohon supaya majlis berjalan lancar. Lima jenis makanan tradisional wajib dihidangkan semasa upacara ini iaitu kelupis, wajik, penyaram, piasang dan inti. Oleh kerana kebanyakan orang Kedayan beragama Islam maka bacaan tahlil atau doa selamat diadakan juga.

Dahulunya makanan dihidang di dalam tapak (dulang) yang besar secara berkelompok. Hadirin duduk bertelut dan bersila di atas tikar mengkuang untuk menikmati hidangan. Kini, sistem layan diri digunakan dan kerusi meja disediakan.

SELEPAS MAKAN TAHUN

Ketua kampung yang mewakili penduduk kampung mengucapkan setinggi terima kepada hadirin. Sebagai tanda terima kasih hadirin dibekalkan buah tangan berupa makanan seperti kelupis, wajik, pisang, inti dan penyaram. Asal-usul konsep pemberian makanan ini bermula apabila jarak antara kampung adalah jauh dan mengambil masa yang panjang untuk sampai ke destinasi. Justeru, makanan yang dibekalkan menjadi alas perut sepanjang perjalanan. Sehingga kini pemberian buah tangan sebegini menjadi pelengkap majlis.

Selesai upacara makan tahun penduduk kampung bergotong-royong membersihkan teratak serta mengemas barang-barang yang telah digunakan, serta memastikan teratak dalam keadaan teratur seperti sediakala.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak

Tingkat 5, Bangunan Sultan Iskandar,
Jalan Simpang Tiga, 93300 Kuching, Sarawak.
Tel : 082-422006 / 082-423106
Fax : 082-244394

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768