Hubungi Kami
EN BM

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM IBAN: ADAT MENDIRIKAN RUMAH LAMIN

PENGENALAN

Rumah Lamin, juga dikenali sebagai Rumah Panjang, berbentuk empat segi dengan panjang sehingga 300 meter dan lebar sehingga 25 meter didirikan menghadap sungai. Rumah ini mempunyai beberapa unit rumah secara bersambung, setiap satunya dimiliki keluarga tertentu secara berasingan. Di dalam setiap unit rumah mempunyai dua bahagian utama iaitu ruang tertutup iaitu tempat tidur dan dapur, serta ruang terbuka atau ruai atau serambi. Terdapat dinding mengelilingi ruang peribadi sebagai sempadan bagi setiap unit rumah. Terdapat juga dinding untuk memisahkan ruang peribadi dan ruai. Pintu dipasang membolehkan penghuni keluar masuk ruang peribadi.

Persekitaran rumah diletak patung-patung besar daripada kayu untuk tujuan ritual sebagai persembahan kepada nenek moyang mereka.

ADAT MENDIRIKAN RUMAH LAMIN

Terdapat tujuh peringkat dalam membina rumah ini, iaitu:

Peringkat Satu: Meramu atau Mengumpul Bahan Binaan

Tuai (Ketua) Rumah berbincang dengan pengikutnya mengenai keperluan membina sebuah rumah lamin baru. Setelah mecapai persetujuan, setiap keluarga mengumpulkan bahan-bahan binaan secukupnya seperti tiang, alang, kasau dan papan. Dengan bantuan Tuai Burung (burung yang bertindak sebagai tukang tilik) tuai rumah akan menentukan tarikh bertuah untuk membersihkan tapak rumah lamin.

Peringkat Kedua: Tuai Burung

Beberapa hari sebelum membersih tapak rumah tuai rumah ke hutan untuk mencari alamat atau petanda baik. Sekiranya rumah lamin baru itu dibina di hilir sungai dan di tapak rumah sebelumnya maka dia cuba mencari bunyi burung Nendak di kanannya. Apabila terdengar bunyi burung itu dia mencabut sebatang anak pokok, dipanggil tambak burung, di kawasan tersebut untuk menandakan kejadian itu, dan membawa balik anak pokok itu untuk disimpan.

Keesokannya tuai rumah ke hutan lagi untuk tujuan yang sama dan mengulangi tindakan sama. Pada awal pagi hari ketiga dia ke hutan lagi dan kali ini untuk mencari bunyi burung dari arah kirinya serta mengulangi tindakan sama bila terdengar bunyi burung itu.

Peringkat Ketiga: Membersih Tapakgemberang/Bakar Tambak Burung

Pada awal pagi pembersihan tapak tuai rumah membakar tempat pembersihan tapak di tengah-tengah tapak baru sebelum memimpin memulakan kerja pembersihan. Setelah selesai ahli keluarga mengumpulkan semua bahan binaan di tapak unit rumah baru masing-masing.

Peringkat Keempat: Merenjis Darah Khinzir Betina dan Berdoa Pada Tuhan Serta
Roh
Selepas pembersihan tapak maka dilaksana adat mendirikan tiang utama rumah diikuti tiang unit rumah lain. Sebelum itu tuai rumah merenjis darah khinzir betina dewasa sambil membaca doa ringkas memohon Tuhan dan roh-roh, terutama roh-roh nenek moyang, merahmati rumah baru mereka serta supaya penghuninya mencapai kejayaan dalam tindakan mereka masa depan.

Peringkat Kelima: Memasukkan Garam Ke Lubang Tiang

Selepas doa dibaca tiang rumah dimasukkan ke dalam lubang berserta garam, seketul kecil emas, kulit-kulit buah langgir dan seranting pohon rendah yang tumbuh di sepanjang dasar sungai.

Peringkat Keenam:Mendirikan Bumbung Rumah

Bumbung rumah kemudiannya didirikan dengan segera dan tersusun.

Peringkat Ketujuh: Tuai Rumah Memimpin Keluarga Masuk Bilik

Setelah rumah panjang siap dibina tuai rumah dan tuai burung memimpin seluruh keluarga masuk ke dalam bangunan baru itu. Sebelum berpindah setiap keluarga mesti membina dapur untuk ahli keluarga masing masing.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak

Tingkat 5, Bangunan Sultan Iskandar,
Jalan Simpang Tiga, 93300 Kuching, Sarawak
Tel : 082-422006 / 082-423106
Fax : 082-244394

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768