Hubungi Kami
EN BM

HADRAH

Hadrah merupakan seni muzik pergendangan yang berasal dari tanah Arab khususnya Parsi dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh kumpulan pedagang melalui daerah Kubang Pasu yang suatu ketika dahulu adalah sebuah negeri dengan gelaran Kubang Pasu Darul Kiam. Kubang Pasu dikatakan negeri/daerah terawal dalam Tanah Melayu yang mula menerima pengaruh Islam dianggarkan pada abad ke 10/11 Masihi, seterusnya ia dikatakan sebagai pusat penyebaran pengaruh dan agama Islam kerana daerah ini mudah dimudiki kerana adanya saliran terutama sungai dan tasik-tasik. Dikatakan juga dalam daerah ini terdapat banyak pondok bagi pengajian agama Islam didirikan dengan pengaruhnya dikatakan menular sehingga ke Arau-Kangar, Perlis. Kekuasaan dan pengaruh negeri Kubang Pasu Darul Kiam juga meliputi daerah Naratiwat, Songkhla dan Pattani di Siam (Thailand). Dikatakan bahawa Hadrah yang ada di negeri Perlis sebenarnya adalah sama dengan Hadrah di negeri Kedah kerana suatu ketika dahulu Perlis adalah di bawah pemerintahan Kubang Pasu Darul Kiam. Melalui cerita-cerita lisan dikatakan cara masyarakat Melayu dahulu mendapatkan hiburan setelah penat seharian bekerja dengan menyaksikan persembahan Hadrah oleh kelasi-kelasi kapal pedagang Arab. Dalam persembahan Hadrah, muziknya hanya menggunakan beberapa buah gendang dipanggil gendang ibu, gendang anak dan gendang besar. Sesebuah kumpulan Hadrah mempunyai seramai antara enam (6) hingga sembilan (9) anggota. Hadrah pada ketika itu dipersembahkan kesemuanya oleh lelaki dengan nyanyiannya dalam bahasa Arab-Parsi. Walaupun terdapat tarian dan lakonan dalam persembahan berkenaan, ia ditarikan dan dilakonkan oleh lelaki berpakaian wanita, ini kerana semua kelasi kapal dagang adalah lelaki.
Persembahan Hadrah amat popular dalam kalangan masyarakat Melayu khususnya di Perlis dan Kedah sejak memasuki abad ke-17 di mana Hadrah sering dipersembahkan dalam majlis perkahwinan yang memakan masa sehingga sehari semalam. Pada waktu itu rumah pengantin akan didendangkan sebanyak lebih 30 lagu yang kebanyakannya memuji kebesaran Ilahi, berkaitan alam serta mendoakan agar pasangan pengantin akan hidup berbahagia. Namun begitu persembahan Hadrah dalam negeri Kedah mulai pudar menjelang tahun 1990-an dan seni persembahan ini semakin pupus. Hanya pada awal bulan Januari 2013 seni persembahan ini dihidupkan semula melalui inisiatif sekumpulan penggiat seni budaya dalam daerah Kubang Pasu dengan menubuhkan Kumpulan Hadrah Seni Warisan yang diletakkan di bawah Majlis Teater, Seni dan Budaya Kubang Pasu.

Kumpulan Hadrah Seni Warisan

Kumpulan Hadrah Seni Warisan
Kampung Farhana, Mukim Binjal
06000 Jitra, Kubang Pasu,

Kedah.
Tel : - 013-413 2906 (Encik Mohamad bin Mat Akhir)

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768