Hubungi Kami
EN BM

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN SUKU DUSUN LOTUD: ADAT PERKAHWINAN

PENGENALAN
Suku Lotud yang kebanyakannya tinggal di Daerah Tuaran mempunyai pelbagai seni dan budaya yang masih diamalkan. Antaranya tarian tradisional, pakaian tradisional dan ritual. Mereka terkenal dengan tarian pemujaan semangat iaitu tarian sumayau atau mongigol, dipersembahkan semasa upacara rumaha (memuja tengkorak) dan upacara magahau (memuja semangat tajau atau tempayan).

Pakaian tradisional mereka dipercayai berasal daripada pakaian kinohoringan (Tuhan), manakala untuk perempuan disebut umunsumundu. Ini diterangkan dalam rangkaian kata-kata rinait molukas (bait-bait jampi) sebagai puji-pujian mengenai pakaian tersebut semasa berpindah ke rumah baharu, diadaptasi ke dalam bentuk visual.


ADAT PERKAHWINAN
Terdapat lima peringkat dalam upacara perkahwinan, iaitu suruhan (merisik), monunui (bertunang), popiodop (bermalam), matod (berkahwin) dan mirapou (adat).

MERISIK
Wakil pihak lelaki yang mahir tentang adat resam, dipanggil suruhan, berperanan utama sebagai perantara dengan keluarga perempuan untuk menetapkan masa yang sesuai bagi merisik atau berunding. Dia melawat rumah pihak perempuan untuk tugasan tersebut. Semasa merisik pihak perempuan ingin mengetahui latar belakang lelaki seperti salasilah keluarga, perwatakan, serta kemampuan pihak lelaki mentafsir erti mimpi dalam keluarga perempuan. Jika mimpi tidak baik sogit mimpi (denda mimpi) dikenakan untuk maksud perdamaianatau keamanan. Menurut adat, jika pihak lelaki tidak mempunyai suruhan mereka boleh dikenakan denda adat malu oleh keluarga perempuan.

BERTUNANG
Adat monunui (bertunang) akan dijalankan dengan menetapkan tarikhnya terlebih dahulu sekiranya risikan diterima dan kedua pihak bersetuju dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Biasanya adat ini dilaksana pada hari ke-14 dalam kitaran satu bulan, dipanggil tawang kopiah, atau hari ke-15 dipanggil tolokud. Adat ini hanya boleh dilakukan di pagi hari dan keluarga pihak lelaki perlu meninggalkan rumah pihak perempuan sebelum pukul 4 petang. Pihak lelaki memberikan sebentuk cincin kepada perempuan sebagai tanda pertunangan. Tempoh pertunangan biasanya setahun.

Semasa upacara pertunangan Ketua Kampung dan suruhan duduk di barisan hadapan. Pada masa ini bakal pengantin perempuan tidak dibenarkan keluar rumah. Bakal pengantin lelaki pula tidak dibenarkan berada dalam kawasan rumah sehingga majlis berakhir. Perkara-perkara penting dibincang semasa pertunangan adalah tinunui (berian atau mas kawin), belanja dapur atau wang hangus, hantaran tunang dan sogit (denda).

BERIAN ATAU MAS KAHWIN
Adat berian atau mahar dan belanja dapur adalah sebahagian daripada elemen utama dalam perjalanan majlis perkahwinan, dan ini dibincang bersama oleh Ketua Kampung, pihak lelaki serta pihak perempuan. Hidangan untuk perbincangan ini biasanya juadah ringkas dengan beberapa helai kirai (pucuk daun tembakau) serta tembakau kering untuk dijadikan rokok.

Permintaan tinunui pihak keluarga perempuan ialah RM1,000., perbelanjaan dapur dianggarkan RM5,000 ke atas dan seekor kerbau. Adat berian tanah dikenali sebagai pinolusadan do aluwid berserta cukai tanah yang diluluskan adalah wajib. Tujuan pemberian ini adalah untuk pembinaan rumah apabila pasangan tersebut mempunyai anak. Jika pengantin lelaki tidak mempunyai tanah maka berian empat binukul (barangan kuno yang berharga) yang bernilai RM1,000, disebut sebagai adat berian, dianggap telah memenuhi syarat yang ditetapkan.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah

Kompleks JKKN Sabah,
KM 4, Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel : 088 237052
Faks : 088 242 052

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768