Hubungi Kami
EN BM

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM MURUT ADAT KEMATIAN

PENGENALAN

Kaum Murut adalah yang ketiga terbesar di Sabah dan kebanyakannya mendiami Daerah-Daerah Keningau, Sook, Tenom, Tongod dan Nabawan di Bahagian Pedalaman Sabah. Mereka terdiri daripada 13 suku iaitu Tahol (juga dipanggil Tagol) atau Sumambu, Timugon, Paluan, Bookan (juga dipanggil Baukan), Gana, Okolod (juga dipanggil Kolod), Selungai atau Salungai, Sembakung atau Sambakung, Serudung atau Sarudung, Nabai, Murut Kalabakan, Murut Keningau, dan Murut Beaufort.

ADAT KEMATIAN

Adat kematian merangkumi semasa kematian, pengebumian dan pasca pengebumian. Jika ada kematian ahli keluarga si mati memukul gong dan semua penduduk perlu berhenti daripada melakukan kegiatan harian. Jika ingkar mereka didenda seekor khinzir diberi kepada ahli keluarga si mati.

Rumah perkuburan di tempat pengebumian dibina pada hari pertama kematian bertujuan memberi perlindungan kepada si mati seperti mengelakkan mayat daripada basah. Rumah ini dibaiki pada hari ketiga kematian sekiranya terdapat kerosakan.

Mayat dimandikan kemudian dipakaikan dengan pakaian yang cantik. Mayat berada di rumah selama dua hari sebelum dimasukkan ke dalam tajau (tempayan) sebagai bangkalan (penyimpanan). Tajau ditutup dengan kayu dan diletakkan lampu kecil di atasnya bagi menakutkan makhlus halus. Di hari kedua tajau dibawa keluar dari rumah tepat pukul 12 tengah malam diiringi tangisan ahli keluarga yang mengelilingi tajau tersebut.

Pada malam keempat ahli keluarga bersuka ria sebagai menghormati malam terakhir si mati berada di rumah. Keesokannya tajau tersebut diusung dengan usungan kayu ke tanah perkuburan diiringi tangisan ahli keluarga perempuan si mati untuk mengucap selamat jalan. Mereka percaya roh si mati akan selamat ke syurga. Gong dipalu sepanjang perjalanan ke tempat pengebumian. Tajau dihias dengan manik-manik beraneka warna dan ditutup dengan kayu berukir serta dipaku. Suku Murut Nabai mengubur sepenuhnya tajau tersebut sedalam enam kaki bagi mengelak daripada diganggu binatang buas. Suku Murut Tagol pula menguburnya separuh sahaja supaya roh si mati dapat keluar dan dapat bertemu dengan keluarganya yang masih hidup.

Setelah empat hari tajau dikubur ahli keluarga suku Murut Nabai meletakkan tiga potongan bara di atas tanah perkuburan supaya roh si mati tidak menganggu atau kembali datang ke rumah tempat keluarganya. Suku Murut Tagol pula meletakkan bara di rumah keluarga si mati. Sebagai contoh, jika si suami mati bara disimpan di rumah keluarga si isteri dan begitulah sebaliknya. Jika kemudiannya si isteri meninggal nanti bara si isteri akan dicampur bersama bara si suami, bertujuan agar kedua-dua roh dapat bertemu semula dan damai bersama.
Bara tersebut dikawal apinya oleh keluarga si mati supaya roh si mati tidak dapat meniup api tersebut kerana mereka percaya sekiranya si mati dapat meniup api sehingga menyala kemungkinan rumah si mati ditimpa bencana. Adat tolak bala diadakan bagi menandakan pantang larang adat kematian sudah selesai.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah

Kompleks JKKN Sabah,
KM 4, Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel : 088 237052
Faks : 088 242 052

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768