Hubungi Kami
EN BM

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM BAJAU ADAT PERKAHWINAN

PENGENALAN

Perkahwinan kaum Bajau di Daerah Kota Belud, Bahagian Pantai Barat Sabah, mempunyai sedikit persamaan dengan orang Melayu di Semenanjung Malaysia. Kaum ini sangat mementingkan pelaksanaan setiap upacara dalam adat perkahwinan mereka yang melibatkan tujuh peringkat utama, dimulai upacara Tilau-Tilau dan Mendo (merisik dan meminang), diikuti Seruan (bertunang), Norong (menyerah hantaran), Mandi Bedak (malam berinai), Nikah dan Sanding, Ngendo (menjemput pengantin perempuan ke rumah pihak lelaki), dan Ngedede (menghantar semula kedua-dua pengantin ke rumah pihak perempuan).

TILAU-TILAU DAN MENDO

Ibu bapa memilih gadis untuk dijadikan menantu. Bila telah dikenal pasti persiapan bagi tilau-tilau (merisik) segera diatur. Sebaik selesai risikan kesempatan diambil untuk bertanyakan latar belakang si gadis kerana masyarakat Bajau mementingkan zuriat.

SERUAN

Majlis seruan (bertunang) diadakan di rumah pihak perempuan dan tempoh bertunang serta tarikh perkahwinan dibincangkan. Kaum ini sangat teliti dalam hal memilih bulan serta tarikh perkahwinan.

NORONG

Selepas itu adalah upacara norong iaitu majlis menghantar berian (hantaran) daripada pihak lelaki kepada pihak perempuan. Hari norong dikenali sebagai malad dan lazimnya dibuat waktu pagi. Dalam upacara ini tarikh perkahwinan ditetapkan.

Terdapat dua jenis norong. Yang pertama dibuat ketika dalam tempoh tiga bulan manakala yang kedua dalam masa tiga sehingga sehari sebelum majlis perkahwinan.

MANDI BEDAK

Acara mandi bedak atau malam berinai diadakan sebelum majlis nikah dan bersanding. Antara bahan yang digunakan adalah beras kuning, inai, bunga rampai dan santan kelapa berserta daun pandan. Bedak dilumur di seluruh tubuh pengantin bagi membuang kotoran. Hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan hadir. Bagi memeriahkan majlis acara betitik dan berunsai (muzik dan tarian tradisi Bajau) diselang seli pantun diadakan sepanjang malam selepas selesai acara merenjis.

NIKAH DAN SANDING

Ketibaan rombongan pengantin lelaki di rumah pengantin perempuan diwar-warkan dengan beberapa das tembakan. Rombongan pengantin dimestikan membawa damak (buah tangan). Dahulunya pengantin lelaki tidak dibenarkan memijak tanah. Justeru, pengantin berketurunan Datu diarak menggunakan usungan, manakala orang biasa diarak di atas kuda. Pengantin lelaki dibawa naik ke atas rumah pengantin perempuan dan didudukkan di atas peningkoon (tempat duduk berupa tilam kecil beralas tujuh lapisan tipo selisir, sejenis tikar tradisi Bajau) diapit dua orang pengapit. Kemudian akad nikah dilaksana dalam keadaan duduk atau berdiri dibuat pada hari bersanding. Selepas itu pengantin disandingkan.

Pelamin mempunyai tiga lapis tabir yang perlu dilalui pengantin lelaki yang juga diminta bersyair dan membayar cukai tabir. Sebelum duduk di pelamin pengantin lelaki perlu membatalkan wuduk dengan memusing-musingkan sapu tangannya tiga kali di atas kepala pengantin perempuan kemudian menjatuhkannya di atas tapak tangan pengantin perempuan. Seterusnya pengantin lelaki menyentuh lelangit kerasnya dengan ibu jari kanan dan menyentuh dahi isterinya dengan ibu jari tersebut sambil membaca kalimah syahadah.

NGANDO DAN NGENDEDE

Selepas majlis perkahwinan ialah upacara ngando iaitu menjemput pengantin perempuan ke rumah keluarga pihak lelaki. Pengantin perempuan perlu membasuh kaki sebagai tanda menyucikan diri selain sah menjadi ahli keluarga lelaki. Selepas beberapa hari acara ngedede pula dilaksana iaitu menghantar semula kedua-dua pengantin ke rumah pengantin perempuan. Pengantin diberi hadiah seperti peralatan dapur, peralatan tidur dan sebagainya.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah

Kompleks JKKN Sabah,
KM 4, Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel : 088 237052
Faks : 088 242 052

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768