Hubungi Kami
EN BM

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN SUKU KADAZAN: ADAT PERKAHWINAN MONGOI PANAU

PENGENALAN

Perkahwinan pasangan suku Kadazan adalah atas dasar persetujuan kedua-dua ibu bapa kerana ibu bapalah yang memilih jodoh untuk anak-anak mereka. Segala urusan upacara dan perbelanjaan semasa merisik, bertunang dan berkahwin dilaksana dan disediakan oleh ibu bapa. Anak-anak yang hendak dikahwinkan hanya mengetahuinya apabila tarikh perkahwinan mereka semakin hampir.

Masyarakat Kadazan hanya membenarkan perkahwinan yang tidak mempunyai talian persaudaraan. Justeru, penglibatan ibu bapa dalam menentukan jodoh anak-anak mempunyai signifikan dalam mencegah perkahwinan seperti ini. Ketidakpatuhan terhadap adat dan norma masyarakat dipercayai akan mengundang bencana kepada pasangan dan kepada keluarga serta seluruh masyarakatnya.

ADAT MONGOI PANAU

Adat ini adalah menjemput pengantin perempuan dan diarak berjalan kaki ke rumah pengantin lelaki, jika pasangan berkenaan tinggal dalam kampung yang berdekatan. Diadakan juga adat miohon do pinisi (bertukar nasi kepal) bagi menyerlahkan kesakralan perkahwinan tersebut. Kedua-dua upacara ini ditandai dengan tondiadi (puisi-puisi tradisional yang dilagukan) semasa mongoi panau dan bacaan rinait (mantera) semasa miohon pinisi.

Dalam majlis ini terdapat upacara polintuhun (mengizinkan anak gadis dikahwini lelaki pilihan) yang bertujuan melambat-lambatkan pengantin perempuan ke tempat pihak lelaki. Upacara ini adalah simbolik yang keluarga tersebut merasa kehilangan anak gadis mereka kerana anak perempuan sangat bernilai dan sumber harta ibu bapanya melalui nopung (berian atau hantaran perkahwinan).

Perkahwinan anak perempuan dibuat besar-besaran berserta dengan upacara adat untuk menghormati dan menghargai jasa-jasa perempuan tersebut semasa bersama dengan keluarganya. Sekiranya berlaku kematian sebelum majlis perkahwinan maka majlis tersebut ditangguh, namun sekiranya kematian berlaku semasa majlis berlangsung maka majlis perlu dihentikan seketika. Bobolian (pawong) dipanggil untuk momurinait (membaca mantera) bagi membebaskan pasangan dan seluruh keluarga daripada terkena bencana.

Beberapa pantang larang perlu dipatuhi oleh mempelai sepanjang tempoh majlis perkahwinan iaitu tidak dibenarkan memakan buah-buahan yang masam seperti buah limau dan mangga. Mereka juga tidak dibenarkan memakan sayur-sayuran seperti jantung pisang.

Tiga orang wakil pihak lelaki datang ke rumah pengantin perempuan sekitar jam 3 petang dengan membawa sebiji sanang (gong). Para wakil dilayan dengan baik oleh keluarga perempuan dengan diberi jamuan seperti makanan dan minuman tradisional seperti tapai. Wakil-wakil tersebut haruslah dalam kalangan yang mempunyai budi pekerti yang baik kerana pada ketika itulah keluarga pihak perempuan akan lebih mengenali sikap keluarga lelaki. Budi pekerti dapat diperhati semasa mereka diberi minum tapai sehingga mabuk dan muntah.

Upacara polintuhun (bertolak ke rumah pengantin lelaki) bermula pada waktu malam dengan iringan tondiadi (pantun khusus untuk perkahwinan). Sebelum memijak tanah pihak perempuan melantunkan tondiadi sebagai ungkapan pendinding dan peringatan kepada pengantin perempuan. Tata atau jamung (pelita) digunakan untuk menerangi jalan. Sepanjang jalan rombongan mogondiadi (berpantun secara berbalas-balas).

Dalam perjalanan rombongan melalui perumahan orang kampung yang kebanyakan masyarakatnya mengetahui bahawa rombongan akan melalui kawasan rumah mereka. Penghuni rumah bersedia di beranda rumah masing-masing untuk mengalu-alukan rombongan tersebut. Rombongan melantunkan tondiadi yang sesuai dengan situasi pada ketika itu.

Sesampai ke perkarangan rumah pengantin lelaki rombongan disambut dengan meriah. Wakil pengantin lelaki yang telah sedia menunggu di halaman rumah memaklumkan kepada tuan rumah iaitu ibu bapa pengantin lelaki secara ungkapan tondiadi tentang ketibaan pengantin perempuan. Selesai berbalas pantun rombongan dijemput naik dan dijamu makanan dan minuman yang memabukkan. Pengantin perempuan duduk di atas timpohon (kerusi kayu yang rendah), manakala pengantin lelaki pula tidak dibenarkan berada di rumahnya pada masa itu.

Semasa upacara mongoi panau adab sopan sangat diberi perhatian. Tidak ada wakil daripada kedua-dua mempelai yang cuba membuat onar dalam majlis tersebut meskipun mabuk. Tapai-tapai yang disediakan oleh tuan rumah dalam beberapa tajau (tempayan) telah numaan dopitanai (dimanterai) bagi mengelakkan perkara yang tidak baik daripada berlaku, seperti pergaduhan.

Pengantin perempuan tidur ditemani teman-teman perempuan dalam rombongannya. Keesokan harinya pengantin perempuan dihantar balik ke rumahnya oleh ibu pengantin lelaki bersama empat orang wakil kaum perempuan di pihak pengantin lelaki. Pada petang itu sekali lagi pengantin perempuan diarak ke rumah pihak lelaki. Pada hari kedua ini barulah kedua-dua pengantin dipertemukan dan bermalam bersama. Mereka duduk dan makan seperti biasa bersama kaum keluarga dan rakan-rakan. Selepas bergelar suami isteri pengantin perempuan dibenarkan kembali dan tinggal bersama ibu bapanya sehingga dia cukup bersedia untuk tinggal bersama di rumah keluarga suami. Pada zaman dahulu, jika si isteri berasa keberatan meninggalkan rumah dan ibu bapanya suaminya memainkan sompoton (alat muzik tradisional) bagi membantu isterinya berasa lebih tenang dan bersedia mengikutnya pulang.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah

Kompleks JKKN Sabah,
KM 4, Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel : 088 237052
Faks : 088 242 052

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768