Hubungi Kami
EN BM

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM ORANG SUNGAI DI BELURAN ADAT PERKAHWINAN

PENGENALAN

Kaum Orang Sungai yang mendiami Daerah Beluran di Bahagian Sandakan mempunyai adat perkahwinan yang hampir serupa dengan adat suku ini di daerah lain di Sabah, namun dengan sedikit perbezaan.

MERISIK

Adat perkahwinan dimulakan dengan pihak lelaki memberi isyarat dua kali kepada pihak keluarga perempuan dengan memberi sama ada air, kayu, barangan dapur, pakaian atau alat solek. Pada pemberian kali ketiga pihak keluarga lelaki ditanya sama ada barangan yang diberikan itu hanya sedekah atau ada tujuan lain. Jika tiada tujuan khusus maka pihak keluarga perempuan melaporkan kepada ketua kampung dan pihak lelaki kena membayar denda dengan nilai dua biji gong. Denda ini bertujuan supaya tiada lelaki yang memperkecil-kecilkan anak gadis dan keluarganya. Jika pihak lelaki ingin merisik maka perlu memberi satu ekor ayam yang cukup besar sebagai menghormati kesucian gadis yang bakal dilamar. Pihak keluarga perempuan akan mengembalikan semua barangan yang diberikan sebelum ini jika tidak besetuju.

MEMINANG

Keperluan barangan meminang ialah RM20 wang tunai pembuka mulut, sebeg pakaian lelaki ditinggalkan di rumah perempuan selama bertunang, sebilah parang bersarung, gulungan kawat dan sebentuk cincin.

ADAT MEMINANG

Barangan meminang diamanahkan kepada timbalan atau ketua rombongan peminangan yang ahlinya seramai tiga hingga tujuh orang. Bungkusan tersebut tidak boleh diletakkan di atas lantai sehingga proses meminang selesai.

Setelah wang pembuka mulut diserah barulah ibu bapa perempuan meminta rombongan menyatakan hasrat mereka. Ibu bapa perempuan berbincang dengan ahli keluarga perkara-perkara yang boleh dibangkitkan sebagai permintaan mereka. Contohnya, ahli keluarga yang tidak dapat hadir perkahwinan perlu diganti dengan wang RM20.00 tiap seorang. Sekiranya perkahwinan dibatalkan maka wang berkenaan tidak boleh dikembalikan dan dikira sebagai buang laut.&

Setelah perbincangan selesai pihak keluarga perempuan membentangkan jumlah permintaan seperti wang tunai RM5,000 misalnya, tidak termasuk rumah baru, lembu dan kelengkapan set tidur. Bila permintaan dipersetujui pihak perempuan memaklumkan latarbelakang keluarga perempuan. Perkara-perkara taklik didokumenkan dan disimpan kedua-dua pihak untuk rujukan bersama.

Selepas itu tempoh pertunangan dibincangkan. Jika bertempoh tiga bulan misalnya, di akhir tempoh itu pihak lelaki menyerah wang berkenaan. Seandainya wang belum cukup maka tempoh disambung tiga bulan lagi. Jika sudah dua kali bertempoh namun masih gagal maka terpulang kepada pihak perempuan sama ada diselesaikan dengan hutang atau pertunangan diputuskan.

ADAT SEMASA BERTUNANG

Tempoh bertunang tidak ditetapkan. Jika permintaan pihak perempuan telah dapat ditunai maka tarikh perkahwinan boleh dipercepatkan dan ditetapkan berpandukan sunnah nabi.

Semasa bertunang kedua-dua lelaki dan perempuan tidak boleh menggunting rambut kecuali dengan izin tunang atau ahli keluarga masing-masing. Tidak boleh ke tempat keramaian kecuali dengan izin tunang atau ahli keluarga. Kalau adat ini dilanggar maka dikenakan sogit (denda). Seandainya pihak lelaki memutuskan pertunangan tanpa masalah maka ia dihukum memberi satu gong atau abos.

MANDI BERLIMBUN, MALAM BERINAI, DAN PERSANDINGAN

Mandi berlimbun dilakukan pada waktu subuh. Mak Andam kedua belah pihak membacakan jampi mantera membuang sial dan memohon kebaikan pada pengantin. Malam berinai ialah memakaikan bedak kepada pengantin dan inai di jari-jari tangan dan kaki.

Pengantin lelaki tiba di rumah pengantin perempuan sebaiknya selepas tengah hari. Pihak perempuan menyediakan regi-regian atau puketian (peralatan dapur jenis kaca) dipanggil kepala buruhatau kepala berian (hantaran). Pihak lelaki diminta membuat perarakan rombongan mengelilingi rumah sebanyak tiga atau tujuh kali pusingan. Pihak perempuan menyediakan sebilah parang dan sebuah dulang yang berisi darah ayam untuk dipijak pengantin lelaki sebagai tanda merestui perkahwinan. Mak Andam menaburkan beras kunyit kepada pengantin lelaki dan rombongan.

Selepas ijab kabul pengantin lelaki masuk ke bilik pengantin perempuan kemudian memusingkan sehelai sapu tangan di atas kepala pengantin perempuan sebanyak tiga kali dan melepaskannya di atas telapak tangan pengantin perempuan, yang menyambutnya sebagai tanda rela menerima lelaki tersebut sebagai suami yang sah. Selepas itu barulah acara bersanding diadakan.

Sewaktu pengantin lelaki masuk ke bilik pengantin perempuan Mak Andam biasanya meminta rantar kaput (sebilah pisau) dan RM50 untuk singkab lawang (menyelak tudung pengantin perempuan) melainkan pengantin berstatus janda atau balu.

UPACARA MUTINGKUANG (KE RUMAH LELAKI)

Sebelum kedua pengantin naik ke rumah pengantin lelaki, pihak lelaki perlu menyediakan sebiji gadur (barang tembaga) untuk langkah selang atau langkah laut sebagai keseruangan (keizinan masuk ke rumah lelaki), sebilah ingkag (parang tembaga) yang disimpan di muka pintu, sebilah parang ketegowong, selapa (tepak sirih), sebuah talam berisi darah ayam, beras kuning dan ambiau, tebu untuk tujuan sogit. Kedua pengantin tidak boleh bermalam di rumah lelaki, mesti balik ke rumah pengantin perempuan sebelum subuh. Jika adat ini dilanggar hukumnya dipercayai pengantin tidak aman damai dan pendek umur.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah

Kompleks JKKN Sabah,
KM 4, Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel : 088 237052
Faks : 088 242 052

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768