Hubungi Kami
EN BM

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN SUKU DUSUN KIMARAGANG: PERKAHWINAN

PENGENALAN


Suku Dusun Kimaragang kebanyakannya tinggal di Daerah Kota Marudu di utara Sabah. Mereka juga mempunyai adat-adat yang masih diamalkan. Salah satunya ialah adat perkahwinan.


MONGUMPAI, LUMABAT ATAU SUMONDOT, DAN MANGATOD


Mongumpai bermaksud mencari petanda kesesuaian bakal isteri. Lelaki baligh yang bujang bertandang ke rumah perempuan yang ingin dikahwini untuk bermalam. Sebelum tidur lelaki berkenaan momabar (berniat) kepada kinoringan (Tuhan) untuk mendatangkan petanda akan kesesuaian jodoh dengan wanita berkenaan. Kebiasaannya lelaki berkenaan didatangi mimpi yang baik atau buruk. Sekiranya tiada mimpi lelaki berkenaan boleh membuat keputusan sendiri.
Lumabat atau sumondot ialah merisik. Pihak lelaki menghantar wakil untuk menyampaikan niat bertunang kepada keluarga pihak perempuan. Manakala mangatod bermaksud menghantar bungkusan dipanggil damakan berisi sirih, pinang, kapur makan, sigup (tembakau), kirai (daun tembakau), cincin, set alat solek dan seekor ayam jantan rundukan taboi (yang cukup matang, bulu ekornya panjang mencecah tanah) bagi perempuan yang tidak pernah bertunang. Ini bertujuan untuk menyempurnakan adat. Namun, ada juga yang dikembalikan untuk mengetahui kesungguhan lelaki berkenaan untuk berkahwin.


MONGKONAN ATAU TARANG BERIAN

Mongkonan adalah hantaran yang terdiri daripada:
1. Berian: Wang yang dipersetujui untuk diberikan kepada pihak perempuan. Wang ini menjadi hak ibubapa sebagai ganti rugi kerana telah membesarkan anak perempuan mereka.

2. Belanja Angus: Wang yang dibelanjakan bagi tujuan majlis perkahwinan.

3. Beras dan Kerbau: Makanan sepanjang majlis perkahwinan.

4.Pangadapan om Talaman: Kelengkapan bilik tidur, pelamin dan pakaian pengantin.
5.Pulanut atau salapa (bekas tembaga) berisi keinggatan (barangan untuk makan sirih), dan kosigupan (barangan untuk menghisap rokok tembakau) untuk upacara mongginggat om monigup makan sirih dan menghisap rokok tembakau semasa persandingan.

6. Sinolung Popogong: Peralatan untuk upacara monuntung (memukul peralatan) semasa persandingan.

7. Gantung: Wang atau kerbau yang dipersetujui bersama sebagai pagar. Dahulunya gantung ditunaikan suami sekiranya menzalimi isteri atau menceraikannya tanpa sebab.

8. Sogit Sompusasawo: Seekor khinzir dikorbankan untuk menghalalkan persetubuhan.

9. Sogit Kinogumu: Seekor khinzir dikorbankan untuk menyejukkan penduduk kampung kerana percampuran lelaki dan perempuan yang dipercayai panas.

10. Buru: Wang tunai antara RM30-RM50 diberikan suami kepada mertua. Buru bermaksud memerdekakan zuriat.

MISASAWO(BERKAHWIN)

Rombongan pengantin lelaki berarak ke rumah pengantin perempuan dengan membawa bersama peralatan berburu dipanggil tinipu jika ia mahir berburu, untuk diserah kepada keluarga bakal isteri. Kegagalan membawa tinipu menyebabkan perkahwinan ditunda atau dibatalkan. Rombongan pengantin lelaki naik ke atas rumah dan seterusnya pengantin lelaki ke pelamin untuk bersanding. Di pelamin pengantin lelaki duduk di kanan pengantin perempuan menghadap tetamu manakala pengantin perempuan duduk bersimpuh ke kiri menghadap dinding.

Upacara mibulugu bermula dengan pengantin lelaki mencuci tangan kemudian mengambil sedikit nasi, dikepal-kepal bulat tiga kali lalu diberikan kepada pengantin perempuan berserta secubit ikan turongou sebagai lauk. Pengantin perempuan menyambut makanan itu dengan tangan dan memakannya. Perlakuan ini dibalas oleh pengantin perempuan. Pengantin lelaki memberi air minum lalu dibalas oleh pengantin perempuan. Kemudian pengantin perempuan berpusing ke kanan perlahan-lahan untuk duduk menghadap hadirin disusuli pengantin lelaki menyelak kerudung (penutup kepala pengantin perempuan).

Selepas itu pengantin lelaki memberikan pinang berserta sirih yang disapu kapur makan kepada pengantin perempuan. Perlakuan ini dibalas pengantin perempuan. Pengantin lelaki kemudian mongolumbid (memberi lumbidan, yakni bahan-bahan untuk rokok daun tembakau) kepada pengantin perempuan, yang dibalas oleh pengantin perempuan. Pengantin lelaki mengambil gelas berisi kinomol (arak tradisional), meminum sedikit kemudian diberikan kepada pengantin perempuan yang juga meminumnya.

Pembantu pengantin kemudiannya meletakkan saputangan di atas kepala kedua-dua pengantin. Boboliyan (bomoh) menjalankan upacara mononsob iaitu tiga batang kayu api berbara berserta bekas air diangkat ke atas kepala pengantin, dan mencurahkan sedikit air ke atas bara tersebut. Mentera khas dibaca memohon agar perkahwinan itu terhindar daripada perkara-perkara yang buruk. Selepas itu upacara monuntung dot botukul dilakukan oleh pengantin lelaki dengan memukul botukul sebanyak tiga kali sebagai simbolik agar zuriat mereka tidak tuli dan tidak bisu. Acara kemuncak ialah migol miandak (pasangan pengantin menari tarian pinakang) disusuli pasangan pengapit dan pasangan ibu bapa pengantin.

Keluarga terdekat pengantin yang lebih tua kemudian memberi tunjuk cara adab sopan, cara menghormati dan memklumkan nama panggilan keluarga keduanya terutama yang berpangkat mertua. Selesai acara misusur dot koworisan ini keluarga keduanya makan bersama sambil beramah mesra dan berpesta.Biasanya persandingan diadakan lagi di rumah keluarga pengantin lelaki keesokan harinya atau beberapa hari kemudian dalam majlis dipanggil maganda.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah

Kompleks JKKN Sabah,
KM 4, Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel : 088 237052
Faks : 088 242 052

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768