Hubungi Kami
EN BM

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN SUKU DUSUN TATANA: PERTUNANGAN DAN PERKAHWINAN

PENGENALAN

Dusun Tatana yang kebanyakannya di daerah Kuala Penyu pada mulanya hidup secara berpuak-puak dan terbahagi kepada dua kelompok, yakni orang hulu yang tinggal di bahagian atas (di Suang Seruang), dan orang hilir (di Suang Tunan). Lama-kelamaan orang hilir digelar Tatana.

PERTUNANGAN

Seorang lelaki atau wanita tua digunakan sebagai orang tengah dinamakan susuruan, bagi pihak lelaki pergi ke rumah pihak perempuan biasanya pada hari Selasa, Khamis atau Sabtu. Pihak perempuan diberi masa untuk berunding dan menetapkan tarikh susuruan kembali mendapatkan jawapan. Jika pinangan diterima maka keluarga pihak perempuan akan menyediakan jamuan makan dan minum kepada susuruan. Jika sebaliknya berlaku, ini bermakna pinangan pihak lelaki ditolak.

Tarikh pertunangan ditetapkan mengikut persetujuan kedua belah pihak dan bulan dan hari yang baik serta dengan kiraan angka genap. Perbelanjaan pertunangan yang ditanggung oleh lelaki adalah mengikut kemampuan pihak keluarga pasangan pengantin. Permintaan pertunangan biasanya seekor kerbau atau khinzir, sepasang kain, sebentuk cincin emas, gelang emas, wang belanja dapur (kadar mengikut yang patut) dan wang talak sebanyak RM500.

Kedua mereka tidak boleh membuat hubungan sebelum berkahwin. Si perempuan juga tidak boleh pergi ke mana-mana sesuka hati kecuali dengan izin tunangnya. Jika ingkar maka dia didenda mengembalikan semua perbelanjaan waktu bertunang. Sekiranya pihak lelaki ingkar maka perbelanjaan pertunangan dikira hangus.

KOTOLIBAN ATAU SEPANGADAK (DIKEBELAKANGKAN)

Sekiranya anak perempuan yang paling muda berkahwin terlebih dahulu daripada kakak-kakaknya maka adik perempuan ini perlu memberikan hadiah kotoliban kepada mereka iaitu dundung atau sigar (tanjak), sira (baju), gonob (sarung), dan sebentuk cincin emas.

BALUN (PERBELANJAAN KAHWIN)

Biasanya terdiri daripada seekor kerbau besar rinampung (matang), sepikul khinzir, gelang emas atau rantai emas, inapung (mas kahwin) RM500. dan wang belanja dapur mengikut keadaan upacara perkahwinan.

PERKAHWINAN

Bagi yang beragama Kristian dan Katolik atau tidak beragama (Pagan) perkahwinan mereka berbeza daripada adat moginum kahwin atau bemasak (persiapan kahwin dan menyediakan jamuan). Mereka menyediakan kolupis dan berbagai macam jenis makanan termasuk menyembelih kerbau rinampung untuk dihidang pada malam moginum (malam keraian).

KAHWIN NIALAP DAN UNULI

Nialap bererti si lelaki dan perempuan, atas suka sama suka, berkumpul sebagai suami isteri tanpa bertunang. Mereka dikahwinkan dengan cepat dan ringkas dengan perbelanjaan iaitu seekor kerbau, seekor khinzir dan perbelanjaan dapur yang sederhana. Bagi kahwin Inuli si lelaki pulang ke rumah si perempuan dan terpulang kepada si perempuan untuk mengambil keputusan menerima atau tidak lelaki berkenaan.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah

Kompleks JKKN Sabah,
KM 4, Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel : 088 237052
Faks : 088 242 052

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768