Hubungi Kami
EN BM

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN ADAT SOGIT

PENGENALAN

Kaum majoriti Sabah ini mempunyai dua dialek bahasa serta pelbagai budaya dan adat resam. Mereka tinggal di Bahagian Pantai Barat iaitu di Daerah-daerah Penampang, Papar, Tuaran, Kota Belud dan Ranau, serta di Bahagian Pedalaman iaitu Tambunan dan Keningau. Kebanyakan mereka adalah petani tradisional yang menanam padi sawah dan padi bukit. Sesetengahnya memburu serta menangkap ikan di sungai.

SOGIT

Sogit adalah seumpama undang-undang, bertindak sebagai saman dengan pampasan daripada pihak yang bersalah. Pampasan biasanya dalam bentuk haiwan ternakan seperti khinzir, kerbau, lembu, kambing atau ayam. Sebagai contoh, sogit dikenakan kepada lelaki yang mengganggu gadis yang masih suci ataupun wanita yang telah berkahwin.

Antara kesalahan yang boleh dikenakan sogit ialah:

1. Mencuri hasil tanaman atau ternakan
2. Merosakkan tanaman
3. Membunuh haiwan ternakan
4. Merogol
5.Melarikan anak gadis

Jika seseorang perempuan diganggu oleh lelaki dan mengandung sebelum berkahwin maka lelaki yang bertanggungjawab perlu membawa keluarganya dan Ketua Kampung untuk membincangkan persetujuan sekiranya lelaki tersebut mahu berkahwin dengan perempuan berkenaan. Jika lelaki tersebut enggan berkahwin maka ia perlu membayar pampasan mengikut kehendak keluarga pihak perempuan berkenaan. Jika perempuan berkenaan mahu lelaki tersebut berkahwin dengannya maka pihak lelaki perlu menuruti kehendak pihak perempuan. Sogit yang perlu dibayar mestilah melebihi RM1000 serta barangan tradisional. Kelengkapan perkahwinan juga perlu disediakan walaupun kedua pihak tidak akan berkahwin.

HUKUMAN SOGIT

a) Hukum Perceraian Perkahwinan
Sekiranya si suami menceraikan isterinya maka si suami perlu menanggung dan menyediakan segala keperluan bekas isteri termasuk anak-anak mereka.

b) Hukum Nenek Dan Datuk
Apabila cucu dimalukan maka nenek dan datuk perlu diberi pampasan. Keluarga pihak perempuan diutamakan berbanding pihak lelaki.

c) Hukum Lampau
Hukum ini bersifat tegas kerana hukuman mati dikenakan sekiranya terdapat hubungan luar nikah dengan tidak mengira siapa yang bersalah. Pasangan tersebut dimasukkan ke dalam raga kemudiannya dihumban ke dalam sungai. Kini hukuman ini telah dihapuskan.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah

Kompleks JKKN Sabah,
KM 4, Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel : 088 237052
Faks : 088 242 052

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768