Hubungi Kami
EN BM

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM BERUNAI ADAT PERKAHWINAN: ISTIADAT BADAK-BADAK MANDI DAN MALAM BERINAI

ISTIADAT BADAK BADAK MANDI

Istiadat di Membakut dalam Daerah Beaufort ini hanya dilaksana dalam kalangan keluarga bakal pengantin lelaki dan bakal pengantin perempuan serta berlangsung berasingan. Bakal pengantin ditepung tawar dengan bedak yang diperbuat daripada tepung beras bersama bunga melur, kemudian dilulur dengan bedak tradisional ini dari muka hingga ke hujung kaki. Bakal pengantin disiram dengan air langgir (air yang bercampur limau nipis) dikelilingi tujuh orang kanak-kanak yang memakai selendang berlainan warna dan memegang lilin. Bakal pengantin kemudian mematikan lilin-lilin tersebut dengan menyemburkan air melalui mulut sebanyak tiga kali.

Setelah selesai bersiram bakal pengantin berkurung tanpa bedak ditanggalkan daripada badan. Sajian untuk mereka dihidangkan oleh pengangun (Mak Andam) di bilik beangun (bilik pengantin).

MALAM BEBADAK

Bakal pengantin perempuan digendong ke pelamin yang tempat duduknya berbentuk empat segi diperbuat daripada baldu bersulam emas. Di setiap penjuru pelamin diletakkan lilin bewarna kuning. Bedak tradisional diwarnakan dengan tujuh warna diletakkan di tempat khas. Bagi bakal pengantin lelaki ianya diiring ke pelamin untuk upacara ini.

ADAT BERINAI/BERPACAR

Upacara ini kebiasaannya berlangsung pada tengah malam sebelum hari perkahwinan dan di kediaman bakal pengantin masing-masing. Untuk Majlis Masuk Adat Berinai bakal pengantin berdiri di atas katil didahului pengangun. Bakal pengantin kemudian disuruh duduk di atas katil sambil pengangun mengangkat tapak tangannya dengan berhajat diikuti oleh bakal pengantin. Seterusnya pengangun memegang tangan bakal pengantin sambil membacakan doa. Bakal pengantin kemudiannya dibawa mengelilingi katil sebanyak tiga kali kemudian duduk di katil. Selepas itu orang-orang tua keluarga bergilir untuk mencalit bakal pengantin dengan inai.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah

Kompleks JKKN Sabah,
KM 4, Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel : 088 237052
Faks : 088 242 052

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768