Hubungi Kami
EN BM

HADRAH

Hadrah berasal daripada perkataan 'hijrah' yang berunsurkan kesenian Arab. Dalam sejarah Islam, ketika penduduk Madinah menyambut penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W (622M), mereka memukul gendang beramai-ramai bagi menyambut kedatangan Rasulullah. Demikianlah juga kesenian Hadrah yang terdapat di negeri Perlis, sepasukan pemukul gendang akan berarak mengiringi perarakan pengantin atau menyambut seorang pemimpin dalam sesuatu majlis keramaian. Kesenian ini begitu popular suatu ketika dulu dan dipersembahkan di istana-istana raja sehingga menular ke kampung-kampung. Oleh kerana Hadrah berasal dari Tanah Arab dan berkembang melalui Parsi dan India menyebabkan seni kata aslinya langsung tidak dapat difahami termasuklah oleh ahli-ahli pemain Hadrah itu sendiri. Di antara seni katanya berbunyi:


Sarmi hobai yasi sare
Sare hobai yasi sare
E sarmi hobai yasi sare
Ya Rasul-lil hoda
E sarwa ye


Di negeri Perlis, kesenian ini telah dibawa oleh seorang tokoh Hadrah dari Pulau Pinang beserta dengan tariannya dan mula berkembang sekitar tahun 1910. Lazimnya penari Hadrah terdiri daripada empat orang lelaki yang dilatih dan diasuh supaya berlagak dan menari seperti perwatakan lenggok wanita. Mereka dapat mempersembahkan tarian Hadrah ini dengan begitu lemah-lembut mengikut rentak gendang yang dipukul oleh 8 hingga 10 orang. Di samping penari, terdapat seorang 'peran' yang merupakan pelawak yang bersama para penari dalam sesebuah persembahan Hadrah. Semenjak awal tahun 80-an, kesenian ini tidak lagi menggunakan penari lelaki yang menyamar menyerupai wanita kerana bertentangan dengan agama Islam. Lagu-lagunya pula telah berkembang menggunakan seni kata bahasa Melayu yang boleh difahami selain mengekalkan lagu dan seni kata asal lagu-lagu Hadrah.

Mr. Bakar Mohamad

Persatuan Hadrah Seri Pauh
No. 65, Kampung Guring Tengah, Batu 1 1/2,
Jalan Pauh,
02600 Arau, Perlis.
Tel : 019-5294952

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768