Hubungi Kami
EN BM

ADAT MANDI TIAN ATAU KIRIM PERUT

Pengenalan/Sejarah/Asal-Usul/Ciri-Ciri

Mengikut adat Melayu, apabila isteri mengandung genap tujuh bulan maka dilakukan upacara kepercayaan adat mandi tian atau kirim perut oleh Tok Bidan, yang bukannya wajib dalam Islam. Mandi ini dipercayai bertujuan menyelamatkan wanita yang pertama kali mengandung.

Kelengkapan mustahak adalah seperti berikut:-

  • Air selusuh dan limau purut;
  • Tujuh biji buyung tembaga yang berukir di bahagian tepinya dan berisi air;
  • Tujuh biji buyung tembaga yang berukir di bahagian tepinya dan berisi air;
  • Daun kelapa yang dianyam dalam bentuk binatang diletak di tepi buyung;
  • Sebiji kelapa yang elok, dikupas dan dilicinkan tempurungnya;
  • Tujuh urat benang diikat berselang untuk dijadikan tali (pinggang), bertih, kunyit, cekur jerangau, dan tujuh bentuk cincin diikat di pinggang ibu selama tujuh hari;
  • Tujuh helai kain (kalau dapat tujuh warna yang berlainan);
  • Beras;
  • Damar;
  • Sirih pinang;
  • Wang pengkeras sebanyak lima sukuyakni RM1.25 dalam tepak sirih;
  • Sintuk; dan
  • Telur mentah.

Tok Bidan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain itu melintang di atas tilam selaras dengan sepanjang tulang belakang ibu yang mengandung. Ibu ini dibaringkan di atas kain tersebut dan diurut dengan minyak oleh Tok Bidan. Kemudian kelapa digulingkan perlahan-lahan di atas perut ibu dari atas ke bawah sebanyak tujuh kali.

Pada kali ketujuh kelapa itu dibiarkan bergolek dari perut ibu ke bawah. Pada masa kelapa tersebut berhenti bergolek itulah Tok Bidan memerhatikan kedudukan muka atau mata kelapa itu. Kononnya ibu akan memperoleh anak lelaki sekiranya mata kelapa itu menghala ke atas dan anak perempuan sekiranya mata kelapa itu menghala ke bawah.

Kemudian, dengan sebelah tangannya memegang kelapa, Tok Bidan memusingkan badan ibu yang hamil itu, menarik selapis demi selapis kain alas di bawahnya sehingga kesemua ditarik keluar. Kain-kain itu diambil oleh Tok Bidan bersama dengan kelapa, damar, sirih pinang serta wang pengkerasnya.

Setelah itu si ibu dimandikan dengan sintuk dikelilingi Tok Bidan bersama tujuh wanita yang lain. Kemudian, telur dibubuh di dalam baju dan dibiarkan jatuh lalu dipijak oleh si ibu sebelum bersiap dengan pakaian yang indah-indah untuk majlis jamuan.

Jamuan adat ini ialah nasi kunyit, gulai ayam dan ayam panggang. Kononnya ketika menanak nasi kunyit ia tidak boleh dirasa masin atau tawarnya. Sepinggan nasi kunyit diberikan kepada Tok Bidan manakala bakinya dihidang kepada orang ramai.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kedah

Kompleks JKKN Kedah,
Lot PTD 400,

05250 Alor Setar, Kedah Darul Aman.
Tel : 04-731 5930 Fax : 04-733 8128

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768