Hubungi Kami
EN BM

GHAZAL PARTY

Ghazal Party adalah gabungan persembahan muzik, nyanyian, tarian dan lawak jenaka. Ghazal party mempunyai pengaruh dari Timur Tengah. Lagu-lagu ghazal party berunsurkan irama padang pasir di mana liriknya dalam bahasa Arab atau Melayu. Perkataan 'party' itu pula bermaksud kemeriahan permainan ghazal. Ghazal Party berkembang di negeri-negeri di utara Semenanjung seperti di Pulau Pinang, Kedah dan Perak. Persembahan ghazal party sering diadakan pada majlis-majlis perkahwinan di kampung-kampung dan pada majlis-majlis rasmi di bandar-bandar. Persembahan pada majlis-majlis perkahwinan bermula daripada awal malam hingga ke tengah malam dan ada ketika hingga ke awal pagi. Kumpulan ghazal party selalunya membuat persembahan di dalam balai yang didirikan pada siangnya untuk jamuan. Balai ini menghadap anjung rumah pengantin supaya keluarga pengantin dan orang ramai dapat melihat persembahan mereka. Di dalam sebuah kumpulan ghazal party terdapat lebih kurang 8 hingga 12 orang pemuzik. Jumlah pemuzik bergantung pada peralatan muzik yang ada. Antara peralatan muzik ghazal party ialah akordion, dua buah biola, gambus, flut, gitar bass, drum, rebana, bongo, tamborin, romba dan marakas. Penyanyi-penyanyi ghazal party mempunyai latar belakang pendidikan Arab. Ada di antara mereka yang belajar di madrasah atau sekolah agama rakyat. Lagu-lagu yang dipersembahkan ialah lagu-lagu Arab yang berirama masri dan sika yang berasal dari Mesir. Pada peringkat awal, penari ghazal party ialah lelaki yang berpakaian wanita. Pakaian wanita yang dipakai ialah tudung, kain batik dan baju kurung berserta solekan yang nipis sahaja. Dalam persembahan ghazal party wanita tidak dibenarkan menjadi penari. Namun pada tahun 1950an muncul golongan lelaki yang bersifat seperti perempuan (pondan) menjadi penari-penari ghazal party. Satu lagi komponen dalam ghazal party ialah lawak jenaka. Kewujudan lawak jenaka dalam ghazal party ialah berfungsi untuk mengisi masa rehat pemuzik-pemuzik dan penyanyi. Dalam persembahan ghazal party, pemuzik dan penyanyi akan berehat sebanyak 2 hingga 3 kali dan setiap kali berehat, ruang itu akan diisi oleh pelawak yang membawakan lawak jenaka berkisar hal-hal semasa.

Encik Kasim bin Saidin

6087, Paya Keladi Hujung
13200 Kepala Batas,
Seberang Perai Utara,
Tel : 012-586 5494 (Encik Kasim bin Saidin)

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768