Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

BEDUAN

Beduan adalah persembahan kesenian yang tertua di negeri Perlis, yang muncul kira-kira 250 tahun yang lalu pada zaman pemerintahan Siam. Muzik ini mula diperkenalkan oleh dua keluarga yang bersembunyi di atas puncak Bukit Tuk Wang Gunung bagi mengelak keganasan dan kekejaman tentera Siam. Di puncak bukit itu keluarga tersebut merasa kesunyian dan mereka memukul keratan batang kayu sebagai gendang sambil menyanyi secara melaung-laung. Setelah peperangan berakhir kedua keluarga ini kembali ke kampung halaman mereka lalu memperkenalkan kesenian tersebut kepada penduduk kampung. Mereka memberi nama muzik itu Beduan yang berasal daripada perkataan “berdua-duaan”. Beduan amat popular semasa acara kenduri perkahwinan dan biasanya dipersembahkan di atas balai yang dibina bersambung dengan rumah utama pengantin.  Laungan nyanyiannya yang nyaring menjadi tanda penunjuk kepada tetamu menuju ke rumah pengantin tersebut. Tetamu dan penonton berdiri di hadapan rumah bagi menyaksikan persembahan ini. Ahli kumpulan Beduan terdiri daripada 10 sehingga 12 orang. Mereka memukul gendang sambil menyanyi dan melaung-laung. Gendangnya agak besar, berukuran lilit kira-kira 140sm, diperbuat daripada belulang lembu, kayu nangka atau temak. Terdapat tiga jenis gendang yang digunakan iaitu Gendang Pengibu, Gendang Peningkah dan Gendang Penganak. Dalam nyanyian Beduan si pemukul gendang berbalas pantun dengan ahli yang lain. Namun, hanya ahli Beduan sahaja yang memahami pantun tersebut kerana mereka menggunakan dialek yang difahami dalam kalangan mereka sahaja. Antara pantunnya ialah:



Anak ayam di dalam celepa,

Buka tudung patuk padi,

Siang malam aku tak lupa,

Kasih terkandung di dalam hati.


Mahmud Hashim
Simpang 3,
Kampung Baru Syed Omar,
01000 Kangar,
Perlis.
Tel : 012-468 7728

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768