Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN SUKU DUSUN SANDAYO: KEMATIAN

PENGENALAN

Masyarakat Dusun Sandayo di Daerah Paitan adalah orang asal Sabah yang sangat sedikit bilangannya. Suku ini bermula daripada asal-usul orang Dusun di Sabah di kawasan Nunuk Ragang yang dipercayai terdapat pokok yang sangat besar dan didiami oleh seramai lebih kurang 12,000 orang. Mereka mempercayai pokok besar inilah yang banyak memberi tuah dan malang kepada suku mereka. Suku ini mendapat nama daripada perkataan suku itu sendiri iaitu sarayo yang bermaksud hulu sungai, sejajar dengan pola penempatan suku ini yang mendiami hulu-hulu sungai.

KEMATIAN

Perkabungan adalah selama tujuh hari bagi sesuatu kematian. Mengikut adat dahulu, semua ahli keluarga terdekat si mati tidak dibenarkan ke tanah perkuburan. Mereka hanya tinggal di rumah dan dilarang melakukan sebarang kerja. Mengikut kepercayaan sekiranya mereka melanggar pantang larang tersebut ahli keluarga si mati akan ditimpa malapetaka.

Penduduk kampung membantu keluarga si mati mengendali pengebumian. Mereka bersama-sama membersihkan kawasan pengebumian dan menggali kubur. Jiran tetangga melawat rumah keluarga si mati. Acara pengebumian hanya boleh dilakukan sehari selepas kematian si mati untuk memberi penghormatan terakhir kepadanya.

Upacara mukas (upacara selepas kematian) adalah upacara penghormatan terakhir buat si mati. Pada hari terakhir perkabungan upacara mukas perlu dilakukan untuk membuang pantang. Keluarga si mati harus menyediakan makanan untuk disajikan buat si mati dan meletakkan makanan tersebut di atas para dapur kayu api. Keluarga si mati juga dikehendaki bergelap sepanjang upacara ini iaitu bermula pada pukul 6 petang sehingga 11 malam.

Mengikut kepercayaan suku ini, ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai si mati yang datang pada upacara pengebumian mestilah datang pada hari terakhir membuang pantang. Sekiranya ada yang tidak berbuat sedemikian roh si mati tidak akan tenteram dan akan mencari orang tersebut.

Jika si mati beragama Kristian, mayat dihantar ke hospital terlebih dahulu dan selepas itu mayat di hantar ke gereja untuk upacara penghormatan terakhir. Hadirin menyanyikan lagu-lagu ketuhanan dan berdoa untuk ahli keluarga dan juga si mati. Mayat dikebumi dalam keadaan kakinya menghadap matahari terbit berdasarkan pemahaman daripada ajaran Al-Kitab bahawa orang Kristian akan dibangkitkan daripada mati untuk hidup semula.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah

Kompleks JKKN Sabah,
KM 4, Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel : 088 237052
Faks : 088 242 052

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768