Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM KADAZANDUSUN SUKU DUSUN SUBPAN: PERTUNANGAN DAN PERKAHWINAN

PENGENALAN

Suku Dusun Subpan menetap di sepanjang Sungai Segama di Daerah Lahad Datu di pantai timur Sabah. Mereka menyara hidup dengan bercucuk tanam seperti menanam padi bukit, ubi kayu dan pisang serta memburu binatang dan menangkap ikan.

MERISIK

Acara ini dilakukan setelah keluarga pihak lelaki mendapat mimpi yang baik selama tiga malam, dan juga perempuan yang hendak disunting masih bujang. Rombongan merisik dihantar oleh keluarga pihak lelaki.

MEMINANG DAN BERTUNANG

Andainya perempuan tersebut belum baligh hantaran tunang adalah seutas gelang kuning, wang tunai RM1.00 dan seekor ayam betina. Jika sebaliknya hantaran wang tunai RM1.00 dan seekor ayam betina sahaja. Biasanya pihak lelaki perlu menunggu selewat-lewatnya tiga hari untuk jawapan peminangan tersebut. Pinangan diterima apabila barangan pinangan tidak dikembalikan dalam tempoh yang ditetapkan. Pihak lelaki dimaklumkan akan penerimaan peminangn melalui wakil, sekali dengan makluman mengenai hantaran pinangan wang tunai RM50 dan sebentuk cincin yang biasanya dibungkus dengan saputangan. Bakal pengantin lelaki memberikan belanja tunang setiap bulan sehingga majlis perkahwinan.

MANGADAA-ADAA DAN MAJLIS PERSANDINGAN

Sehari sebelum majlis perkahwinan kedua belah pihak mengadakan majlis yang dipanggil mangadaa-adaa iaitu memukul gong secara serentak antara pihak lelaki dan perempuan. Upacara ini mestilah serentak bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Persandingan diadakan pada waktu siang diikuti majlis keramaian.

Dahulunya apabila perselisihan pendapat menyebabkan kedua belah pihak tiada persetujuan bersama maka persandingan terpaksa ditangguhkan sehingga subuh, dan sehingga diselesaikan oleh ketua kampung. Pasangan pengantin perlu berjaga sepanjang malam kerana dipercayai untuk mengelak diri daripada musibah atau nasib malang seperti kematian.

Kini, suku ini lebih memilih jenis perkahwinan musilom atau mutarang yang tidak begitu banyak pantang larang. Majlis persandingan dan keramaian diadakan serentak pada waktu siang atau malam berserta acara memotong kek perkahwinan. Pakaian pengantin juga lebih moden dengan lelaki berkot sementara gaun pengantin bagi pengantin perempuan.

MAJLIS MANANDOH

Di hari ketiga perkahwinan diadakan majlis manandoh dan majlis manukab batol (meminum tapai di dalam tajau), didahului pasangan pengantin, diikuti keluarga pengantin serta para tetamu. Majlis ini diiringi pukulan beberapa peralatan muzik tradisi, dan diserikan dengan tarian-tarian mangalai dan gabiluk. Salah satu kegiatan di majlis ini ialah dalundung (saputangan) pengantin diletakkan di atas bahu seseorang secara rawak. Ketika inilah para rara\a (gadis) mengelak kerana takut terkena giliran menari.

Keesokan harinya pasangan pengantin hendaklah membuka ladang kecil sebagai simbol bermulanya kehidupan sebagai suami isteri.


Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah

Kompleks JKKN Sabah,
KM 4, Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel : 088 237052
Faks : 088 242 052

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768