Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

ADAT RESAM DAN BUDAYA KAUM IDAHAN DI LAHAD DATU KEPERCAYAAN DAN PANTANG LARANG MENUAI SARANG BURUNG

PENGENALAN

Kaum minoriti Idahan yang kebanyakannya tinggal di Lahad Datu di pantai timur Sabah mempunyai pengetahuan mendalam terhadap sistem ekologi yang menampung sebahagian daripada ekonomi mereka, seperti menuai sarang burung. Mereka mewujudkan sistem kawalan bagi menghadkan penuaian sarang burung serta sistem penggiliran hak menuai dalam kalangan kerabat mereka agar spesies burung yang menghasilkan sarang yang boleh dimakan tidak pupus. Sistem kawalan ini juga meletakkan sarang burung di bawah milik bersama komuniti dengan cara penuaian yang sistematik agar sumber ini berterusan dan dapat dimanfaatkan oleh generasi akan datang.

KEPERCAYAAN DAN PANTANG LARANG MENUAI SARANG BURUNG

Beberapa pantang larang berkaitan tingkah laku dikenakan sewaktu berada di dalam gua bagi membantu memastikan keadaan yang tertib dan teratur sewaktu menuai. Kerja-kerja menuai dilakukan dalam keadaan senyap dan percakapan dihadkan kepada perkara yang perlu sahaja.

Kaum ini percaya kepada kuasa suprabiasa dan roh nenek moyang mereka. Gua sarang burung di kawasan Madai dahulunya digunakan sebagai tempat pengkebumian dan masih terdapat beberapa buah keranda di situ. Kini gua tidak lagi digunakan untuk maksud tersebut namun kawasan berkenaan tetap dianggap kudus dan perlu diberi penghormatan. Justeru, segala pantang larang berkaitan merupakan penghormatan kepada roh nenek moyang mereka yang dianggap sebagai penunggu gua. Sebelum memeluk agama Islam mereka memberi sajian nasi kunyit, ayam putih, pasu tembikar dan kambing kepada roh nenek moyang mereka.

Ketika memasuki gua penuai meminta izin terlebih dahulu daripada roh nenek moyang dengan menyatakan bahawa penuai-penuai adalah anak cucu mereka dan meminta agar tidak diganggu ketika membuat penuaian. Sewaktu memasuki gua hendaklah tidak memakai tegawih atau serawang (penutup kepala berupa terendak besar dibuat daripada daun pandan).

Andai terdapat tanda-tanda atau kejadian ganjil kerja-kerja memanjat dihentikan seketika agar tiada bahaya yang menyusul. Bersin sewaktu memasuki gua dianggap petanda buruk dan orang itu mesti berpatah balik serta tidak boleh menuai pada hari tersebut. Percakapan di dalam gua juga menggunakan makna berlapis atau istilah khusus. Contoh, perkataan esok diganti dengan lusa frasa mahu pulang ke rumah diganti dengan mahu naik ke bubun derain.

Tempoh berkabung daripada menuai sarang burung untuk kematian ialah dua hari. Jika berlaku kemalangan di dalam gua, seperti orang terjatuh dari bumbung gua, maka kerja-kerja menuai di seluruh kawasan gua dihentikan selama tiga hari. Kecuali sarang burung, benda-benda di dalam gua termasuk najis burung, walaupun harga pasarannya agak mahal, juga tidak boleh diusik atau dibawa keluar. Mereka di kawasan Gua Madai juga tidak membela kucing kerana binatang ini adalah musuh utama burung yang sedang membiak terutama pada musim menetas.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sabah

Kompleks JKKN Sabah,
KM 4, Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel : 088 237052
Faks : 088 242 052

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768