Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

HADRAH

Hadrah berasal daripada perkataan ‘hijrah’ dan berunsurkan kesenian Arab. Dalam sejarah Islam, ketika penduduk Madinah menyambut penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W (622M), mereka memukul gendang beramai-ramai bagi menyambut kedatangan Rasulullah. Di negeri Perlis, kesenian ini telah dibawa oleh seorang tokoh Hadrah dari Pulau Pinang beserta dengan tariannya, dan mula berkembang sekitar tahun 1910. Dalam persembahan Hadrah sepasukan pemukul gendang berarak menggandingi perarakan pengantin atau menyambut pemimpin dalam sesuatu majlis keramaian. Kesenian ini begitu popular suatu ketika dulu dan dipersembahkan di istana sehingga menular ke kampung-kampung. Oleh kerana Hadrah berasal dari Tanah Arab dan berkembang melalui Parsi dan India, menyebabkan senikata aslinya langsung tidak dapat difahami termasuklah oleh ahli-ahli pemain Hadrah itu sendiri. Antara senikatanya berbunyi:


Sarmi hobai yasi sare

Sare hobai yasi sare

E sarmi hobai yasi sare

Ya Rasul-lil hoda

E sarwa ye


Lazimnya, penari Hadrah terdiri daripada empat orang lelaki yang dilatih dan diasuh supaya berlagak dan menari seperti perwatakan lenggok wanita. Mereka dapat mempersembahkan tarian Hadrah ini dengan begitu lemah-lembut mengikut rentak gendang yang dipukul oleh lapan hingga 10 orang. Terdapat juga seorang ‘peran’ yang merupakan pelawak menggandingi para penari berkenaan. Semenjak awal tahun 1980an, kesenian ini tidak lagi menggunakan penari lelaki yang menyamar berperwatakan wanita kerana bertentangan dengan agama Islam.  Lagu-lagunya pula telah berkembang menggunakan senikata Bahasa Melayu yang boleh difahami, selain mengekalkan lagu dan senikata asal lagu-lagu Hadrah.


Persatuan Hadrah Seri Pauh & Kumpulan Bahagia Bestari

Persatuan Hadrah Seri Pauh,

No. 65, Kampung Guring Tengah, Batu 1 1/2,
Jalan Pauh,
02600 Arau, Perlis.
Tel : 019-5294952 (Bakar Mohamad)

 

Kumpulan Bahagia Bestari

Dewan Orang Ramai Kampung Bahagia

Kampung Bahagia,

02000 Kuala Perlis, Perlis

Tel: 019-5425843 (Mohamad Radzi Salleh)


Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2020 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768