Muzik tradisional Caklempong dikatakan telah dibawa ke Tanah Melayu oleh
masyarakat Minangkabau dari Sumatera Barat, Indonesia yang menetap di Negeri
Sembilan seawal kurun ke-14. Masyarakat Minangkabau memanggil Caklempong
sebagai Taklempong.
Dalam tradisi terdahulu, selain daripada bertujuan sebagai hiburan, Caklempong
turut memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian masyarakat Minang
seperti menyatupadukan penduduk setempat.
Caklempong dimainkan semasa upacara pertabalan Yang Dipertuan Besar
Negeri Sembilan. Juga sebagai muzik iringan pencak silat dan tarian. Dimainkan juga
untuk pelbagai tujuan antaranya upacara-upacara perkahwinan dan perasmian serta
majlis keraian.
Muzik Caklempong kini telah diterima oleh masyarakat majmuk Malaysia sebagai muzik warisan bangsa milik semua rakyat negara ini. Ia tidak lagi hanya tertumpu di Negeri Sembilan sahaja malah sebagai mata pelajaran di institut perguruan seluruh negara. Ini bertujuan untuk menyebarkan asal usul dan salasilah muzik tersebut selain menyemai semangat kecintaan terhadap muzik tradisional di Malaysia.