Dondang Sayang adalah muzik dan nyanyian tradisional Melayu yang terkenal di Negeri Melaka. “Dondang” bermaksud ‘menghiburkan hati’ yang sama ertinya dengan ‘dendang’, sementara “Sayang” bererti ‘kasih’. Paduan perkataan “Dondang Sayang” bermaksud ‘Lagu Kasih’ atau ‘Nyanyian Kasih’. Tidak dapat dipastikan tarikh kewujudan Dondang Sayang, namun lebih awal daripada kewujudan Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15.
Awalnya, Dondang Sayang hanya dinyanyikan tanpa susun atur muziknya dan diiringi alatan muzik paluan seperti gendang dan tambur. Kedatangan Portugis menakluki Melaka dalam kurun ke-16 adalah titik permulaan dalam penggunaan alat muzik biola untuk kesenian ini. Alat muzik yang biasa digunakan ialah rebana dan gong/tetawak, serta biola yang menjadi alat paling penting bagi melodi lagunya. Pemuzik boleh terdiri daripada empat sehingga lima orang.
Senikata lagunya terdiri daripada bait-bait pantun yang dilagukan dalam lenggok penyanyinya sendiri bergantung kepada keupayan dan kebolehan masing-masing. Antara gaya nyanyian ialah menggantung lagunya dengan menyingkatkan sebutan perkataan dalam pantun, atau perkataan ketiga atau keempat dalam baris pertama pantun dipanjangkan sebutannya, serta meleret-leretkan nyanyian maksud pantun.
Pantun-pantun terdiri daripada pantun berkait atau berikat ataupun pantun bertema seperti pantun kasih, budi dan jenaka, serta haiwan seperti harimau, ayam dan burung, juga buah.
Kini Dondang Sayang dijadikan salah satu persembahan utama dalam majlis-majlis rasmi kerajaan bagi memastikan kelangsungan warisan seni yang menjadi tarikan dan keunikan seni budaya Negeri Melaka ini.
Dondang Sayang telah berjaya mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai Representative List of The Intangible Cultural Heritage of Humanity pada 29 November 2018.
No.14, Jalan 6,
Taman Sri Duyung,
75460 Melaka
Tel: 019-2471762/ 06-2681195 - Hj Idriss bin Hj Mohd Shariff (Pengerusi)