Ensembel Gendang 24 Musim ini terdiri daripada 24 buah gendang besar yang daripada negara China. Ensembel ini dinamakan Gendang 24 Musim kerana setiap gendang besar ini dinamakan berasaskan satu musim pertanian di negara China yang ditulis pada setiap gendang tersebut dengan kaligrafi China. Dalam Kalendar Cina, setiap musim besar (musim bunga, musim panas, musim gugur dan musim dingin) dibahagikan kepada enam musim kecil. Oleh itu, dalam satu tahun kalendar Cina terdapat 24 musim kecil. Musim kecil ini ada kaitan dengan jadual pekerjaan petani yang mana kaum petani akan tahu masa mereka patut membajak, menyemai, menuai dan aktiviti pertanian lain. Koreografi pergerakan pemuzik juga mengikut aksi aktiviti-aktiviti pertanian dan mempamerkan suasana meriah. Alat muzik gendang yang digunakan ialah gendang shingu (drum tarian singa) dan terdapat juga gendang longgu. Kedua-dua gendang ini hampir sama iaitu gendang besar yang berbentuk tong dan mempunyai satu muka kulit kerbau atau lembu pada bahagian atas yang dipaku pada bahan kayu dengan paku besi. Di dalam gendang ini terdapat beberapa dawai besi seperti spring yang memberikan warna ton istimewa. Gendang ini diletakkan atas rak kayu berkaki empat. Muka kulit gendang dipukul dengan menggunakan dua pemukul kayu.
Kompleks JKKN Melaka
Lebuh Ayer Keroh
75450 Melaka
Tel : 03-233 1790/1787