Kompang tergolong dalam kumpulan
alat muzik gendang dan adalah alat muzik tradisional yang paling popular dalam kalangan
masyarakat Melayu. Alat ini berasal dari dunia Arab dan dipercayai dibawa masuk
ke Tanah Melayu sama ada ketika zaman Kesultanan Melaka oleh pedagang India
Muslim, atau melalui Pulau Jawa, Indonesia oleh pedagang Arab pada abad ke-13.
Kulit kompang biasanya diperbuat
daripada kulit kambing betina, namun mutakhir ini diperbuat juga daripada kulit
lembu atau kerbau, malah getah sintetik. Kebiasaannya seurat rotan diselit pada
bahagian belakang antara kulit dan bingkai kayu bertujuan untuk menegangkan
permukaan kompang bagi menguatkan lagi bunyi paluan kompang. Kini, tali plastik
turut digunakan menggantikan rotan.
Terdapat dua bahagian kompang
iaitu bahagian muka (yang ada kulit) dipanggil ‘belulang’ manakala bahagian
badan (yakni bingkai kayu) dipanggil ‘baluh’. Di antara belulang dan baluh
inilah seurat rotan atau juga dipanggil ‘sedak’ diletakkan.
Kompang lazimnya berukuran 16 inci ukur lilit dan ditutup dengan kepingan kulit pada sebelah permukaan manakala sebelah lagi mempunyai bukaan cetek. Alat ini dimainkan dengan memegangnya menggunakan sebelah tangan sementara sebelah tangan lagi memalunya. Gaya permainan kompang boleh dipersembahkan secara duduk, berdiri, atau berarak mengikut kesesuaian majlis. Kompang juga dipersembahkan bagi mengiringi nyanyian atau secara instrumental.
Dalam esembel kompang, beberapa
paluan digabungkan untuk menghasilkan bunyi berharmoni yang dinamakan rentak
terhasil. Antara paluan tersebut ialah melulu, menyilang atau menyelang dan
meningkah.
Abdul Wahab bin
Jamil
Pertubuhan Kompang
Negeri Pahang
d/a No. 62, Sungai
Panching Timur
26140 Kuantan,
Pahang Darul Makmur
Tel : 013-9836102