Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

TARIAN PIRING

Tarian Piring merupakan kesenian Tradisi yang sudah hampir dua abad bertapak di daerah Temerloh dan Jerantut. Tarian ini dipercayai mula diperkenalkan di Sanggang, Temerloh oleh para pedagang dari Sumatera, khususnya dari daerah Rawa yang menetap dan berkahwin dengan penduduk tempatan di situ. Dipercayai dibawa bersama rombongan Sultan Pahang dari Pagar Ruyung, Indonesia, semasa pembukaan Kuala Tekal dahulu.

 

Sebelum ini tarian ini dimulakan dengan persembahan silat dengan tiada had jumlah penari, diikuti persembahan tarian oleh penari yang sama dengan setiap tapak tangan diletakkan sebuah piring. Justeru, terdapat adanya unsur-unsur seni silat di dalam setiap pergerakan tarian tersebut. Persembahan silat biasa diadakan di gelanggang silat, pada majlis perkahwinan serta majlis yang dihadiri oleh orang-orang kenamaan, dan masih diamalkan sekarang.

 

Alat muzik terdiri daripada Rebana Ibu, Gong Anak dan Gendang Silat. Untuk menambahkan lagi kemerduan muzik, cincin yang diperbuat daripada besi atau timah dipakaikan pada hujung jari telunjuk atau jari hantu setiap penari. Cincin ini diketukkan di bawah piring sewaktu menari mengikut rentak muzik utama.

 

Persembahan dimulakan dengan penari yang duduk di atas tumit mengesot selangkah ke hadapan, angkat sembah kemudian berdiri sedikit demi sedikit. Untuk mengakhiri persembahan penari kembali ke posisi asal, piring pula diletakkan di kiri dan kanan badan, angkat sembah dan mengesot ke belakang sebelum bangun.

 

Tarian Piring mempunyai pelbagai asas gerakan, yang mana disebut juga sebagai ayun atau buai. Asas pergerakan ini juga berbeza di antara satu daerah dengan daerah yang lain disebabkan para pengembang tarian ini, setelah mempelajari dan mahir, akan mengembangkannya mengikut tahap kepakaran dan kreativiti masing-masing. Antara pergerakan Tari Piring yang terkenal adalah Tayang Piring, Jalan Ketam, Mengayuh Sampan, Minta Sikit, Silau Anak Dara, Meniti Benang, Lompat Gagak, Tadah Embun, Pusing Kiri, Pusing Kanan, Jalan Berekor, Sentadu Bergelut, Tikam Keris, Lenggang Mak Janda, Suluh Lampu, Melilit Benang, Cacak Racik, Puyuh Berlaga, Helang Menyonsong Angin dan Helang Berlegar. 

 

Selain asas pergerakan ini, persembahan Tarian Piring juga amat menekankan kepada mimik muka. Mimik muka para penari haruslah bertepatan dengan gerak yang dibawa atau dipersembahkan. Umpamanya ekspresi muka gagah berani (perkasa) mestilah terserlah sepenuhnya dalam aksi gerak ‘Tikam Keris’. Begitu juga dengan ekspresi yang mengelikan hati dan penuh kemanjaan dalam gerak ‘Lenggang Mak Janda’.

 

Busana lelaki terdiri daripada baju Melayu lengkap bersampin dan bertanjak tiga segi, manakala penari wanita pula dibenarkan memakai tudung.


Kumpulan Anak Seni KLK

Sharudin bin Abdul Majid

Kumpulan Anak Seni KLK,

Kampung Lata Kasah,

27000 Jerantut, Pahang Darul Makmur

Tel : 013-926 6267


Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2021 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768