Wayang Kulit adalah teater tradisional
yang menggunakan cahaya dan bayang. Ada pendapat menyatakan teater ini berasal dari
Pulau Jawa, Indonesia, dan ada juga mengatakan berasal dari Pattani, Selatan
Thai. Namun, Wayang Kulit adalah teater tradisi masyarakat Melayu sejak berzaman.
Persembahan Wayang Kulit diketuai
oleh seorang Tok Dalang yang menggerak-gerakkan patung-patung yang diukir daripada
kulit (belulang) lembu, berdasarkan watak-watak tertentu. Patung-patung tersebut
ditayang di belakang kelir atau kain putih melalui suluhan cahaya. Kehebatan
Tok Dalang ialah ia boleh menutur pelbagai gaya suara mengikut watak-watak yang
ada dalam persembahannya.
Persembahan yang biasanya diadakan
pada waktu malam dibantu oleh kumpulan muzik yang terdiri daripada tujuh hingga
lapan pemain alatan muzik seperti sepasang gong, sepasang geduk, gedombak, serunai,
canang dan kesi. Umumnya, cerita yang dimainkan dipetik daripada koleksi epik Hindu
Ramayana dan Mahabrata dengan watak-watak popularnya ialah Seri Rama, Siti
Dewi, Wak Long, Pak Dogol dan Hanuman.
Peranan Tok Dalang kian berkurangan
setelah kemunculan televisyen. Tokoh-tokoh penggiat juga kian dipandang sepi
oleh masyarakat. Namun, sesekali Tok Dalang kembali ke pentas apabila ada permintaan.
No.1592 B, Kampung Surau Panjang
Atas Tol 21070,
Kuala Terengganu.
Tel : 017-9304494