Sayau Kapa Momorun adalah sebuah tarian tradisi daripada suku kaum Dusun Tindal dari Kampung Melangkap Kapa, Kota Belud. Tarian ini berkembang daripada aktiviti momorun iaitu proses pembuatan kuron sehinggalah menjadi sebuah tarian yang boleh dipersembahkan sebagai sebuah tarian tradisi yang lengkap dengan muzik dan kostumnya yang tersendiri. Sehingga awal tahun 60-an dan sebelumnya, aktiviti momorun adalah salah satu aktiviti harian khususnya bagi kaum wanita. Kuron ialah sejenis tembikar yang dihasilkan menggunakan tanah liat berwarna kelabu. Kuron yang bersaiz kecil dipanggil popogong. Kuron digunakan sebagai alatan dapur bagi kegunaan keluarga ataupun dijadikan alat pertukaran barang (sistem barter) manakala popogong biasanya dijadikan sebagai perhiasan yang kini telah dikomersialkan. Aktiviti inilah yang menjadikan momorun dan kuron sebagai satu yang penting bagi penduduk Kampung Melangkap Kapa. Tarian Sayau Kapa Momorun adalah unik dari segi gerak tarinya. Setiap pergerakan tarian ini diilhamkan daripada proses-proses pembuatan kuron serta aktiviti harian orang-orang kampung.
Kompleks JKKN Sabah,
KM.4, Jalan Penampang,
88200 Kota Kinabalu.
Tel : 088-237 052/051