Tarian tradisi Labi-Labi
terilham daripada pemerhatian masyarakat terhadap haiwan labi-labi yang hidup
di sungai, tasik ataupun kolam. Ia bermula daripada peristiwa pemancing ikan
yang terpancing labi-labi. Masyarakat menjadikan
peristiwa itu sebagai gurauan dan tercetuslah gerak tari labi-labi. Tarian ini
berada dalam zaman kegemilangannya pada tahun-tahun 1950an hingga 1960an.
Tarian ini seawalnya dikesan berasal dan bertapak di Kampung Sarang Tiong, Endau, Kuala Rompin, Pahang, diilhamkan dan dikembangkan oleh individu-individu yang mahir dalam ilmu seni persilatan, serta dicipta sebagai hiburan. Pergerakan tubuh badan dan ekspresi muka penari adalah mengikut gerak geri labi-labi. Gerak tari serta mimik muka para penari disesuaikan agar dapat menambah unsur hiburan yang melucukan yang dapat menarik hati penonton dengan aksi-aksi yang lucu serta menghiburkan.
Terdapat tiga versi tentang asal usul tarian ini berdasarkan lokasinya. Di Kampung Sarang Tiong diilhamkan daripada peristiwa seorang isteri yang mengidam untuk memakan labi-labi namun suaminya tidak dapat menangkapnya. Kemudian si isteri bermimpi seorang lelaki tua memberi petua cara menangkap labi-labi iaitu menggunakan umpan pisang kerana ini makanan kegemaran labi-labi. Selepas peristiwa tersebut labi-labi menjadi topik hangat di kampung berkenaan. Sebagai meraikan kejayaan itu maka tercetus ilham untuk merealisasikan bentuk tarian daripada gerak geri labi-labi yang dapat menarik perhatian orang ramai dengan persembahan yang lucu dan mencuit hati.
Tarian Labi-Labi di Kampung Pulau Rumput, Pekan, Pahang pula dibawa oleh Encik Iderus bin Ginuh dari Kampung Alai, Rompin ke Pekan pada tahun 1964.
Di Kampung Jambu,
Pekan tarian ini adalah berdasarkan pengalaman pemancing bernama Pak Ngah Hitam
di Endau, Kuala Rompin yang terpegun dengan gerak geri labi-labi yang ingin memakan
umpannya. Beliau kemudian meniru aksi labi-labi itu dan menggayakan tarian menyerupai
gerak geri labi-labi dengan tiada kaitan dengan gerak silat.
Awang Kechik bin Jusoh
No. B45A, Lorong Kampung Jambu 1, Kampung Jambu,
26620 Pekan, Pahang Darul Makmur
Tel : 011-59791229
Mat Junit bin Mat Noh
No. 44, Perumahan Komuniti Bersepadu PPRT,
26640 Padang Rumbia, Pekan, Pahang Darul Makmur
Tel : 013-9095758