Main Puteri, disebut juga Main Teghi dalam dialek Kelantan, adalah salah satu kesenian autentik di negeri Kelantan. Kesenian ini adalah salah satu kaedah perubatan tradisi paling popular dalam masyarakat Melayu Kelantan-Pattani sejak lama dahulu. Diakui bahawa sukar untuk mengasingkan antara aspek ‘seni persembahan’ dan ‘ritual perubatan’ dalam kesenian ini kerana terdapat pertalian rapat antara kedua-dua unsur itu. Terdapat pelbagai versi berkaitan asal-usul Main Teghi yang boleh dijadikan sumber maklumat, namun kerana ketiadaan rekod-rekod yang tepat maka sumber lisan adalah satu-satunya yang ada.
Daripada sudut persembahan terdapat elemen menarik dalam Main Teghi iaitu gabungan unsur-unsur lakonan, nyanyian, tarian, mimos dan muzik; selain gabungan unsur Islam, magis dan ritual. Tok Teghi iaitu ketua kumpulan bertindak sebagai perantara bagi menghubungkan pesakit dengan angin atau semangat yang diseru. Ketika proses iniTok Teghi akan berubah-ubah watak; menjadi bengis dan garang, orang tua nyanyuk, pemuda cacat, bersuara sengau dan pelbagai watak lain bagi menggambarkan sakit yang ditanggung pesakit.
Dipercayai terdapat lebih 50 buah lagu dalam persembahan Main Teghi, namun kini tidak sampai 10 yang masih dipersembahkan. Antara lagu-lagu lazim yang dinyanyikan ialah Kijang Mas, Mengulit, Pendekar, Cik Muda, Cik Kojo, Menora dan Abe.
Tel: 018-234 7828 / 013-
275 1992