Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

KEBAYA PERLIS

Baju Kebaya Perlis adalah merupakan baju yang menjadi seni warisan budaya masyarakat Melayu Perlis sebelum tahun 1930-an lagi dan menjadi sangat masyhur di zaman pemerintahan Raja Syed Alwi lagi iaitu Raja Perlis yang ke-4 (1904-1943). Biasanya Kebaya Perlis dipakai oleh golongan istana dan golongan bangsawan di zaman dahulu di majlis-majlis keraian seperti kenduri.


Baju Kebaya Perlis jika dilihat dari pandangan hadapan, ia lebih menyerupai kepada bentuk baju kebaya dan jika dilihat dari sudut pandangan belakang pula, ia adalah seperti baju kebaya yang mempunyai kekek sama seperti baju kurung dan tidak bertulang di atas bahu. Ukuran Kebaya Perlis diambil di bahagian-bahagian tertentu seperti bahu ke pinggang, pinggang, punggung, labuh baju, keliling ketiak, labuh tangan dan pergelangan tangan. Cara pengukuran baju Kebaya Perlis tradisional dan Kebaya Perlis yang agak moden adalah berbeza tetapi menghasilkan bentuk yang agak sama.


Baju Kebaya Perlis turut diletakkan kerongsang hiasan di bahagian lipatan hadapan baju untuk menambahkan lagi seri si pemakai. Kerongsang tersebut diselitkan secara menyerong. Terdapat dua versi cara pemakaian Baju Kebaya Perlis iaitu baju yang mempunyai lipatan di hadapan dan hiasan kerongsangnya diletakkan di atas lipatan tersebut. Terdapat baju yang tidak dilipatkan cuma ditindankan terus lipatan tersebut dan diletakkan hiasan kerongsang yang menyerong di atasnya


Terdapat pelbagai jenis kain yang menjadi pilihan untuk menghasilkan Kebaya Perlis. Dahulu, Kebaya Perlis diperbuat dari kain kapas ataupun Kasarubia. Material kain Kasarubia dahulu amat berbeza dengan kain yang terdapat di pasaran sekarang ini. Penghasilan Kebaya Perlis memerlukan sejenis kain yang agak lembut supaya si pemakainya akan merasa bahawa kebaya yang dikenakannya Nampak begitu 'terletak' di atas badan si pemakai.

 

 


Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri, Perlis


Artikel Berkaitan

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2021 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768