Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

BAJU BELAH

Baju tradisi Negeri Terengganu dikenali sebagai Baju Belah. Potongan Baju Belah ini seakan sama dengan baju kurung yang mempunyai pesak dan kekek. Cuma bezanya potongan tradisi Baju Belah ini dibelah di bahagian hadapan, berleher bulat dengan kemasan kelepek seruas jari dan labuh hingga ke paras lutut. Baju Belah dihiasi dengan butang lima atau tujuh mengikut keselesaan si pemakai. Butang yang biasa digunakan untuk kemasan Baju Belah ini dipanggil Butang Kunang-Kunang Sekebun Bunga. Butang yang dibuat khas untuk Baju Belah. Baju Belah akan dipakai bersama kain susun. Kain susun yang dipanggil Susun Ombak Mengalun ini boleh dipakai pada sebelah kanan atau kiri mengikut kesesuaian si pemakai. Pemakai Baju Belah akan menggayakan baju ini  dengan hiasan selendang dan rantai emas labuh ke paras dada. Hiasan ini menambahkan lagi keindahan Baju Belah tradisi Terengganu.

 

Pola Baju Belah ini bersifat ‘mengurungkan badan’ kerana bajunya longgar, berlenggan besar dan kain susun labuh hingga ke buku lali. Pola ini memudahkan pergerakan dan menutup bentuk badan si pemakai. Baju Belah tidak boleh ketat kerana sesuai dengan konsep baju kurung iaitu longgar, labuh dan selesa. Baju Belah dijahit dengan mengambil potongan lengan dan badan mengikut lungsin atau loseng dan pakan yang betul untuk mendapatkan hasil potongan baju yang menarik dan selesa. Dahulu pemilihan fabrik untuk Baju Belah ini biasanya menggunakan kain Tekat Terekam, kain Tenun, kain Batik dan seterusnya pemilihan fabrik, corak dan warna berubah mengikut zaman. Keselesaan pola Baju Belah menjadikan baju ini sebagai pakaian untuk acara rasmi dan juga pakaian di luar rumah.



Artikel Berkaitan

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2021 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768