Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

HAMZAH AWANG AMAT (SENIMAN NEGARA PERTAMA)

Hamzah Awang Amat dilahirkan di negeri Kelantan pada tahun 1940. Beliau mewarisi darah seni ayahnya yang juga merupakan pemuzik wayang kulit. Seawal usia 6 tahun, Hamzah telah terdedah dengan Wayang Kulit secara serius. Minatnya begitu terserlah apabila beliau sanggup berjalan kaki lebih 4 kilometer hanya kerana ingin menonton persembahan wayang kulit.


Ayah Hamzah menyedari kecenderungan anaknya. Apatah lagi apabila Hamzah menyatakan hasratnya ingin berguru kepada tokoh Wayang Kulit yang masyhur waktu itu, Awang Lah bin Pandak. Untuk tujuan tersebut, ayahnya telah mengajar beliau sebagai 'pelari patung' terlebih dahulu selama setahun. Sebagai pelari patung, Hamzah belajar memberikan patung secara tersusun kepada dalang. Ketepatan jenis patung yang hendak diberikan kepada dalang pada waktu tertentu amat mustahak agar adegan yang ditonjolkan tidak mengalami kecacatan. Kesempatan ini digunakan sebaik mungkin oleh Hamzah untuk memupuk dan seterusnya menajamkan pemahamannya tentang seni pendalangan. Tambahan pula tahap pelari patung boleh dianggap sebagai peringkat permulaan bagi seseorang yang ingin menjadikan pendalangan sebagai profesion hidupnya.


Oleh kerana persembahan wayang kulit amat menitikberatkan penguasaan muzik tradisional maka Hamzah turut mendalami seni muzik wayang kulit. Malah satu syarat untuk berguru dengan Awang Lah ialah seseorang itu harus tahu memainkan sekurang – kurangnya satu alat muzik wayang kulit. Beliau amat tekun mempelajari semua alat muzik wayang kulit selama 2 tahun. Guru beliau ialah Omar bin Yunus. Ilmu itu digunakan sebagai asas menubuhkan Kumpulan Seri Setia, kumpulan muzik tradisional untuk mengiringi persembahan wayang kulit pada tahun 1959.


Pada tahun 1962, hasratnya berguru dengan Awang Lah tercapai. Hamzah bersungguh - sungguh menimba ilmu dari dalang tersohor itu. Hamzah belajar menghidupkan pergerakan setiap patung agar bayangnya dapat timbul dengan segar di kelir. Kelincahan tangannya mengerakkan patung mendapat pujian Awang Lah lantas diberi gelaran dalang muda. Gelaran tersebut hanya untuk murid - muridnya yang menunjukkan prestasi cemerlang. Untuk tugasan pertamanya, Hamzah harus mendalangkan cerita Dewa Panah. Cerita permulaan ini merupakan pembayang untuk pertempuran di antara Seri Rama dan Maharaja Wana. Percubaan ini adalah untuk melihat sejauh manakah penerimaan masyarakat terhadap dalang muda tersebut. Ternyata dalang muda ini dapat mengendalikan cerita permulaan dengan baik. Selama 4 tahun tempoh percubaan itu dilakukan akhirnya Hamzah dapat mengendalikan persembahan solonya.


Pada tanggal 13 Oktober 1973, Hamzah menggegarkan warga kota Kuala Lumpur dengan persembahan wayang kulit bertempat di pentas terbuka Kompleks Budaya Negara. Puluhan artikel menghebahkan fenomena tersebut , dan pelbagai topik perbincangan hinggalah ke seminar diadakan. Kehidupan Hamzah berputar 360 darjah. Menjadi sejarah apabila Hari Kebangsaan dipersembahkan wayang kulit.


Dalam memartabatkan wayang kulit ini, persembahan figura ini tidak terbatas di dalam negara sahaja tetapi juga keluar negara seperti Amerika Syarikat, Belgium, Perancis, England, Kanada, Rome dan seluruh Asia. Beliau juga menjadi pakar rujuk kepada penyelidik - penyelidik antaranya Patricia Ann Matusky dari University of Michigan, Barbara Ann dari Yale University dan Beth Osnen dimana beliau  mempelajari peranan seorang dalang muda untuk desertasinya. Malah Osnes turut mempersembahkan episod dalang muda dalam Bahasa Inggeris di Amerika pada tahun 1992. Beliau juga pernah dilantik sebagai pengajar kepada Kumpulan Theatreworks Singapura anjuran NAC (Majlis Seni Kebangsaan) Singapura.


Sumbangan Hamzah terhadap wayang kulit amat besar. Pelbagai anugerah dan penghargaan diterima. Antaranya dianugerahkan Pingat Pangkuan Negara (PPN) oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada tahun 1974. Sebagai pensyarah tamu di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada tahun 1977. Beliau turut dikurniakan Pingat Perangai Baik (PB) oleh DYMM Sultan Kelantan pada tahun 1978. Sekali lagi dianugerahkan Pingat Pangkuan Negara (PPN) pada tahun 1989. Seterusnya Anugerah Seni Negara oleh Kerajaan Malaysia pada tahun 1993. Pada tahun 1999, beliau mendapat Hadiah Fukuoka Kebudayaan Asia Jepun. Dalang tersohor Negara ini meninggalkan kita pada 1 Januari 2001.


Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

Aras 16, 18, 19, 26, 27, 30 & 34, Menara TH Perdana,

Lot 1001, Jalan Sultan Ismail,

50250 Kuala Lumpur

Tel: 03 - 2614 8200

Emel: [email protected] 

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2021 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768