Masakan Lemak Lada Api Ikan Keli Salai ini memang terkenal di Negeri Sembilan. Bahan yang di salai ini sering mendapat permintaan yang tinggi daripada pengunjung luar mahupun orang tempatan. Hal ini demikian kerana bahan yang disalai ini mempunyai rasa yang berbeza daripada bahan asalnya dan mempunyai aroma yang tersendiri. Kebiasaannya bahan salai seperti ikan keli ini amat enak dimasak lemak api. Oleh hal yang demikian wujudnya masak lemak lada api ikan keli salai dan masakan ini seringkali mendapat sambutan yang memberangsangkan di gerai-gerai makan. Proses pengeringan atau menyalai ikan dilakukan dalam tempoh masa yang lama agar bahan yang disalai betul-betul kering dan tersalai secara menyeluruh. Tambahan lagi, proses menyalai ini dilakukan di atas bara api yang sederhana sahaja panasnya. Ini kerana jika disalai di atas bara api yang besar maka bahan yang disalai akan terbakar atau hangus. Bahan-bahan yang digunakan untuk masak lemak lada api ikan keli salai adalah sama seperti penyediaan untuk masak lemak api yang biasanya dan yang hanya membezakannya adalah bahan utama yang disalai. Penggunaan daun kunyit dan serai dalam pembuatan masak lemak lada api ikan keli salai adalah untuk menaikkan lagi aroma masakan tersebut selain daripada aroma bahan yang disalai. Walaupun proses penyediaan juadah ini agak rumit namun ia amat berbaloi kerana keunikan aroma yang dihasilkan dan rasa yang enak daripada bahan yang disalai tersebut. Oleh hal yang demikian, tidak terkejutlah jika para pengunjung mampu menambah nasi berkali-kali kerana ralat menikmati masak lemak lada api ikan keli salai ini.
Kompleks JKKN Negeri Sembilan
Jalan Sungai Ujong
70200 Seremban
Negeri Sembilan Darul Khusus
Tel : 06-767 6793/763 6308