Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

HAJI WAN SU OTHMAN (SENIMAN NEGARA KE-3)

Allahyarham Haji Wan Su Othman dilahirkan pada tahun 1899 di Pengkalan Kubur, Tumpat, Kelantan. Beliau mewarisi bakat seni datuk saudaranya Nik Wan Ali, tukang ukir di Istana Patani yang memegang jawatan Pembawa Payung Di-Raja. Semasa berumur 25 tahun, beliau berpindah ke Besut, Terengganu.

 

Sejak kanak-kanak lagi, bakat ukiran beliau telah terserlah. Ketika berusia 12 tahun, beliau telah melukis dan mengukir watak-watak dalam wayang kulit Melayu. Pengarah Muzium Negara ketika itu, Tan Sri Mubin Sheppard terpegun dengan keupayaannya lalu mempelawa beliau ke Kuala Lumpur pada tahun 1962. Wan Su telah menghasilkan ukiran pintu utama Muzium Negara dan sejak itu khidmat seni ukirnya telah diterima melimpah ruah. Hasil karya beliau juga sering mendapat sambutan dikalangan peminat seni bukan sahaja di Malaysia, malah diluar negara seperti Kanada, Australia dan England.

 

Antara ukiran utamanya ialah ukiran di pintu utama dan Dewan Santapan Istana Sultan Pahang di Pekan (1976), Dewan Santapan Istana Sultan Selangor (1979), Rumah Sri Tanjung Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur (1980), Istana Badariah, Kuala Terengganu (1980), Panca Persada Bersiram Tabal, Istana Maziah, Kuala Terengganu (1980), Logo Hijrah, Logo Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor (1982), Wayang Kulit di Muzium Negara, Muzium Denmark, Muzium Singapura.

 

Mengenang jasanya, beliau dianugerahkan Tokoh Adiguru Kraf dalam bidang seni ukir kayu pada tahun 1985 oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Beliau turut dianugerahkan Tokoh Budaya ASEAN di Bandar Sri Begawan, Brunei Darussalam pada tahun 1993. Pada tahun 1997, Kerajaan Malaysia menganugerahkan Anugerah Seni Negara yang ketiga kepada beliau. Haji Wan Su Othman meninggal dunia pada 15 September 2011.


Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

Aras 16, 18, 19, 26, 27, 30 & 34, Menara TH Perdana,

Lot 1001, Jalan Sultan Ismail,

50250 Kuala Lumpur

Tel: 03-2614 8200

Emel: [email protected]

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2021 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768