Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

[email protected] BIN HASHIM

Saidin @Mahmud bin Hashim atau lebih dikenali dengan gelaran Pak Din merupakan seorang pengiat seni yang masih lagi aktif dan gigih memartabatkan kesenian Jikey , Hadrah dan Alu Bunyi di Negeri Perlis. Beliau merupakan anak tunggal hasil perkahwinan ibunya yang bernama Manis dengan bapanya Hashim. Pada usia 22 tahun Pak Din bernikah dengan Esah Binti Harun dan dikurniakan tiga orang cahaya mata.

Pak din telah menunjukkan minat terhadap bidang kesenian sejak berusia 8 tahun lagi dengan berkecimpung dalam kesenian Hadrah. Beliau belajar daripada bapa saudaranya yang bernama Abu Seman. Pada Peringkat permulaan beliau memainkan peranan sebagai penari puteri dengan memakai pakaian perempuan. Pada usia 10 tahun beliau diberi peranan sebagai rasuk atau peran dalam kesenian Hadrah. Setelah berkecimpung selama 5 tahun beliau berhenti daripada terlibat dalam kesenian hadrah Ketika berumur 15 tahun sehingga mencapai umur 22 tahun. Beliau kemudianya aktif semula dalam kesenian hadrah pada tahun 1972 sehinggalah kini.

Sejak berkahwin dengan Esah pada tahun 1972, Pak Din mula mempelajari teater tradisional Jikey daripada bapa mentuanya, Harun bin Abdullah yang lebih dikenali sebagai Tok Harun. Tok Harun berasal dari Kodiang, Kedah. Mereka telah menubuhkan sebuah kumpulan Jikey Bersama enam orang lagi yang terdiri daripada pemuzik. Salah seorang daripada mereka berketurunan Siam bernama Neng Kia. Pak Din kemudiannya telah membawa bersama ilmu dan kemahiran berjikey ini di kampung halamannya Kampung Nesam, Jalan Bintong, Perlis kira-kira 30 tahun yang lalu.

Pada tahun 1974 beliau telah memulakan kesenian Alu Bunyi. Menurutnya beliau tidak belajar daripada sesiapa pun dan ilham menghasilkan alu bunyi hasil idea spontan semasa melihat orang mengemping. Pengamatan dan penghayatan beliau terhadap alunan bunyi yang dihasilkan daripada alu dan lesung menumbuk emping, sehingga lahirlah idea untuk memperindahkan lagu dengan memasukkan elemen tiupan serunai dalam muzik silat. Rentetan daripada itu, beliau telah menubuhkan kumpulan Alu Bunyi yang terdiri daripada 9 orang kesemuanya lelaki.

Selain itu, beliau juga memimpin Kumpulan Hadrah yang diberi nama kumpulan Setia Jaya. Kumpulan ini terdiri daridapa 20 orang ahli dewasa. Kumpulan Hadrah Setia Jaya pernah dilibatkan dalam Program Perantisan anjuran dan kelolaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis pada tahun 2012 dan 2013. Melalui Program ini, kumpulan pelapis yang terdiri daripada kanak – kanak dan remaja berusia 9 hingga 20 tahun telah dibimbing oleh Pak Din sendiri agar kesenian ini terus terpelihara.

Sebagai tanda penghargaan, beliau telah dianugerahkan Anugerah Penggiat Seni Budaya Negeri Perlis 2015 oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Perlis.


Saidin @Mahmud bin Hashim

Simpang 3, Kampung Baru Pokok Nangka,

Kampung Nesam,

01000 Kangar Perlis.


Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2021 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768