Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

SAMAT BIN MAN

Samat bin Man atau lebih dikenali dengan pak non dilahirkan pada 18 Mei 1946 di Kampung Tok Kaya, Kayang Perlis. Beliau merupakan anak sulung daripada lapan (8) adik beradik. Beliau telah berkahwin dengan pilihan hatinya bernama Halijah binti Ismail. Perkongsian hidup bersama isteri beliau dikurniakan lima orang anak, tiga lelaki dan dua perempuan.


Beliau mula mempelajari pembuatan wau dan wau hiasan sejak tahun 1963 dan mewarisi kemahiran pembuatan wau daripada datuknya iaitu Ishak bin Din. Sewaktu di sekolah rendah beliau sering mengikut datuknya ke sawah untuk bermain permainan wau dan belajar cara pembuatan wau. Beliau sanggup ke Kelantan untuk berguru bagi mengasah bakat dalam bidang pembuatan wau dan seni ukir bermotifkan bunga di wau tersebut.


Pencapaian beliau dalam seni pembuatan wau dan seni ukir telah membawa beliau menjelajah  keseluruh Malaysia dan sehingga ke luar negara. Antara pencapaian beliau adalah memenangi pertandingan wau peringkat antarabangsa di Pertandingan Pesta Layang-layang Pasir Gudang, Johor pada tahun 1997 dan memenangi 3 tahun berturut – turut pertandingan wau di Satun, Thailand pada tahun 2001 hingga 2003. Beliau juga membuat pertunjukan Wau Malaysia pada pertandingan Wau Antarabangsa Bali, Indonesia pada tahun 1999. Pada tahun 2008 beliau ke World Sport Cultural & Festival di Busan, Korea untuk demontrasi pembuatan wau sekaligus mendapat pengiktirafan peringkat diploma sempena penyertaan 4th Busan TAFISA Wold Sport for all Games.


Selain World Sport Cultural & Festival, beliau juga telah membuat beberapa demonstrasi antaranya World Expo 2010 di Shanghai, China, dan Malaysia Week London pada tahun 2013. Beliau juga mendapat tempahan wau bulan dari syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) yang menjadi simbol kepada logo syarikat tersebut. Wau hiasan beliau juga terdapat di Istana Negeri Johor dan Negeri Perlis.


Usaha beliau dalam memartabatkan seni dan budaya telah diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Perlis dengan penganugerahan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) sempena ulang tahun keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis pada 17 Mei 2014. Beliau juga telah diikhtiraf sebagai Penerima Anugerah Tukang Ulung Kraf oleh Perbadanan Kraftangan Malaysia pada tahun 2014 dan Anugerah  Layang -layang Angkasa oleh Tuanku Mahkota Johor Tuanku Ismail Sultan Ibrahim sempena Pesta Layang-layang Antarabangsa 2015.


Samat bin Man

4728, Kampung Tok Kaya,

02000 Kayang, Perlis.


Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2021 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768