Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

YBHG. DATO’ ARIPIN SAID

YBhg. Dato' Aripin Said dilahirkan pada 11 Disember 1948 di Kampung Batu Bor, Chenor, Pahang. Beliau terkenal sebagai seorang penyanyi lagu rakyat Pahang seawal tahun 1970an lagi. Selain itu, beliau juga terlibat sebagai seorang penyair dan penulis kreatif dan buku-buku akademik berkaitan seni budaya.

 

Tokoh ini sering diundang untuk membuat persembahan lagu-lagu rakyat di dalam dan di luar negeri. Antaranya di Brunei Darul Salam, Sri Langka, Indonesia, Singapura, Belanda (Rochester), United Kingdom (London), Perancis dan Jerman. Lagu-lagu rakyat Pahang seperti 'Indung-Indung dan Terbang Tebu' merupakan antara lagu-lagu yang sering dinyanyikan beliau dalam persembahannya.

 

Lulusan bidang Penulisan Kreatif dari Universiti Sains Malaysia (UMS), dan bidang Linguistik dan Pendidikan Bahasa serta Sastera dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pernah menyumbang bakti sebagai guru di sekolah rendah dan menengah selama 13 tahun dan pensyarah universiti selama 17 tahun. Beliau juga telah menghasilkan lebih 20 buah novel, 200 buah cerpen dan lebih 200 buah puisi. Karya-karyanya telah tersiar di pelbagai akhbar mingguan dan majalah di tanah air seperti Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, Berita Minggu, Dewan Sastera, Dewan Siswa, Dewan Pelajar, Dewan Budaya, Mastika, Sarina, Al-Islam, Kiblat, Majalah Sukan, Pemimpin, Sistem Pelajar dan lain-lain lagi.

 

YBhg. Dato' Aripin telah memenangi beberapa hadiah sastera tanah air yang dikendalikan oleh institusi dan badan-badan tertentu. Antara hadiah yang dimenanginya ialah Peraduan Mengarang Cerpen Islam pada tahun 1979, dan Hadiah Sastera Utusan Melayu (Puisi) oleh Public Bank pada tahun 1987. Bukunya yang berjudul Ceritera Awang Miskin terbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd. telah memenangi Hadiah Buku Kebangsaan pada tahun 1990 bagi kategori Klasik Remaja.

 

Figura ini telah menerima pelbagai anugerah pengiktirafan terhadap sumbangan dan jasa beliau dalam bidang budaya. Antaranya Darjah Kebesaran SAP (2006), SMP (2004), AMN (1998), Penghargaan Budaya Pahang (1998), BKM (1994), PCK (1994). Pada tahun 2009, beliau telah dianugerahkan Darjah Kebesaran, Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato' oleh DYMM Sultan Pahang. Pada tahun 2015, Beliau telah diangkat sebagai Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara (JWN).




YBhg. Dato’ Aripin Said
No. G-1-20,
Bandar Bukit Mahkota,
Jalan BM 4/5,
43000 Bangi, Selangor       


Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2021 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768