Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

Hari Moyang

Hari Moyang merupakan sambutan kebesaran masyarakat Orang Asli daripada etnik Mah Meri terutama sekitar Kampung Sungai Bumbun di Pulau Carey. 


Masyarakat Mah Meri akan mengadakan hari pemujaan khas untuk “moyang laut” atau dipanggil “puja pantai” yang disambut pada tarikh yang ditetapkan lembaga adat kampung mengikut perkiraan berdasarkan kalendar Cina.  Upacara ini dibuat secara besar-besaran oleh penduduk kampung yang diketuai oleh pawang. Mereka akan berarak dari kampung hingga ke tepi laut dengan iringan paluan muzik tradisional bagi memulakan upacara memuja pantai. Hari Moyang dipercayai oleh suku Mah Meri sebagai hari moyang-moyang mereka dari alam lain turun melawat bumi.


Secara tradisi, upacara ini bermula sejak bertahun lamanya berdasarkan legenda yang telah wujud kira-kira 200 tahun dahulu dimana tongkang membawa penumpang dan barangan terperangkap dalam ribut besar di Pulau Carey, berhampiran Tanjung Rhu, di Selat Melaka. Tiada seorang pun penduduk pulau menyangka kapal itu akan bertahan menempuh ribut itu, tetapi sesuatu mengejutkan berlaku apabila mereka melihat tongkang itu seolah-olah diseret ke pantai oleh kuasa yang tidak diketahui. Penduduk kampung percaya Moyang Getah menyelamatkan tongkang itu dan penumpangnya.


Pada hari pertama, suku Mah Meri akan memanggil moyang untuk meminta izin bagi memulakan upacara yang bertujuan untuk menjamin keselamatan, rezeki dan meminta restu serta Panjang umur. Pada hari kedua, perarakan akan dijalankan menuju ke pantai manakala perahu yang memuatkan makanan dibawa ke muara sungai dimana bertih beras akan dicampakkan ke dalam  air dan penduduk akan mempersembahkan doa kepada moyang. 


Sewaktu perarakan, penduduk akan membawa objek yang dinamakan busu selain bendera pelbagai warna yang mewakili semangat-semangat moyang kea rah altar atau pentas yang dibina di pantai. Upacara hanya dilakukan semasa air surut. Sewaktu ritual berlangsung, semangat moyang dipercayai akan menyampaikan pesanan kawasan-kawasan yang bakal ditimpa bencana. Pawang kemudian akan menanda kawasan-kawasan tersebut dengan bendera. Nyanyian dan tarian Mayin Jo-oh serta bacaan mantera mengisi ritual di altar sebelum diakhiri dengan kenduri yang disediakan oleh penduduk kampung. Ia dihidangkan untuk persembahan kepada semangat moyang sebelum dijamu peserta ritual.


Selain penduduk komuniti Mah Meri, kini sambutan Hari Moyang turut dibuka kepada masyarakat umum dan lazimnya perayaan itu menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara. 


Tempat Pelaksanaan : Pulau Carey, Selangor

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara

Aras 16, 18, 19, 26, 27, 30 & 34, Menara TH Perdana,

Lot 1001, Jalan Sultan Ismail,

50250 Kuala Lumpur

Tel: 03-2614 8200

Emel: [email protected]

Artikel Berkaitan

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2021 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768