Hubungi Kami

Pemetaan Budaya

EN BM

ADAT BEBELIAN

Adat Bebelian merupakan upacara perubatan tradisional masyarakat Iban di Sarawak. Upacara ini berbeza mengikut penempatan mereka, namun tujuannya adalah sama iaitu untuk mengubati pesakit yang didatangi mimpi buruk, sakit sebayan (merindui orang yang sudah mati), sakit antu (hantu roh), serta pelbagai lagi penyakit yang sukar diubati menggunakan kaedah perubatan moden. Terdapat tiga (3) peringkat dalam perubatan ini:


  1. 1. Peringkat Pertama “Bercunting”: Dahi pesakit akan dilukis di sebelah kiri dan kanan dengan menggunakan kapur putih.

  2. 2. Peringkat Kedua “Berdukun”: Merupakan satu proses perubatan dengan menggunakan khidmat dukun bagi menyembuhkan penyakit. Sekiranya pesakit tidak pulih atau sukar diubati, maka  upacara ketiga hendaklah dijalan 

  3. 3. Peringkat Ketiga “Betubah”:  Di dalam peringkat ketiga turut melibatkan penggunaan  beberapa alat muzik tradisional etnik Iban. Antaranya ialah gendang panjang, gong, engkerumung dan canang, serta hidangan sederhana akan digunakan. Hidangan sederhana merupakan tiga (3) dulang iaitu sebagai hantaran kepada “orang semandin” iaitu makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. 

Hanya setelah ketiga-tiga peringkat ini gagal dan tidak mampu menyembuhkan si pesakit maka barulah Adat Bebelian Besar akan dijalankan. Disinilah bermulanya satu adat yang unik berdasarkan apa yang dilestarikan oleh Iban Sebuyau yang dikatakan mempunyai perbezaan dengan etnik Iban yang lain seperti Iban Saribas, Rajang atau Iban Remun.


Dalam Adat Belian, etnik Iban Sebuyau lazimnya menggunakan Manang (Bomoh) untuk mengubati si pesakit. Jika penyakit tersebut didapati sukar untuk diubati secara individu maka pembantu boleh digunakan iaitu bomoh yang kedua. Bacaan mentera didahulukan dengan Salam (bahasa langit) iaitu bagi memohon pertolongan daripada “Orang Langit” (Goddes of Gading).


Penggunaan Dulang dalam upacara ini mempunyai beberapa fungsi serta angka hidangan tersendiri. Dulang tiga dan lima adalah dulang biasa yang mana lazimnya untuk kegunaan upacara betubah serta penyakit biasa (senang diubati). Namun sekiranya penggunaan Dulang 7 dan angka angka ganjil yang seterusnya maka dikatakan penyakit si pesakit sukar diubati kerana semangat roh sudah pun jauh dibawa oleh semadin. Pada ketika inilah acara Belian Besar tujuh dulang dilakukan. Hidangan tujuh dulang adalah untuk memberi makan ataupun hidangan kepada Semadin (orang bunian, syaitan atau hantu) seperti kuih penyaram, mayang kelapa, bedak muka amoi, sireh pinang serta bertih jagung yang di goreng tanpa minyak serta seterusnya beberapa alat hantaran kepada Semadin yang merupakan alat solek, kain sarung dan sikat rambut.


Dalam acara tujuh (7) dulang ini, terdapat alat-alat kelengkapan seperti Balai Rong (Rumah semangat), kebuk (tempayan sederhana), sangkuh (tombak), peti (tempat duduk bomoh) serta persembahan untuk Semadin iaitu pencak. Pencak ini merupakan persembahan yang dikendalikan oleh dua wakil iaitu orang yang lebih tua yang harus mempunyai semangat yang kuat serta mampu bermain senjata pedang. Selain itu, satu miniatur sampan juga disediakan dan  diisikan patung kecil. Ianya simbolik cerita pelayaran mereka untuk mengambil semangat si pesakit tersebut. Dari sinilah Manang itu nanti akan menjelajah dunia mistik yang mana jika Manang itu pengsan maka ianya akan dibantu oleh pembantu beliau yang dikenali dengan nama Kebayu. Tugas kebayu adalah untuk memberitahu kepada manusia biasa atau keluarga terdekat si pesakit tentang apa yang berlaku. Beliaulah orang perantaraan antara Manang yang sudah berada di alam mistik dengan manusia biasa.


upacara yang terakhir adalah memecahkan mangkuk kebuk serta memancung mayang pinang. Selepas itu Manang akan memberi tempoh berdiam iaitu selama tiga hari tanpa ada apa apa ganguan. Kemudian Manang akan memilih beberapa orang kampung untuk menghantar semangat pesakit ke sungai yang mengalir melalui sampan buatan. Di dalam sampan buatan akan diletakkan 7 warna pulut dan 7 warna bunga.


Pantang larang semasa tempoh berdiam ini adalah dilarang menjerit, menyanyi, membesarkan suara, alat komunikasi tidak dibenarkan terutama televisyen mahupun radio. Keluarga pesakit hanya boleh menggunakan pitu belakang sekiranya ingin memasuki rumah. Selain itu oleh kerana ianya merupakan antara upacara yang besar-besaran maka penglibatan seluruh kampung adalah diperlukan. Kanak-kanak tidak dibenarkan untuk keluar bermain di luar rumah kerana dikhuatiri lemah semangat. Hanya selepas Hari Belian tamat baharulah keadaan kembali normal.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak

Tingkat 5, Bangunan Sultan Iskandar

Jalan Simpang Tiga

93000 Kuching, Sarawak

E-mel: [email protected] 



Artikel Berkaitan

Penafian:

Pihak Kerajaan Malaysia dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat di dalam laman ini. Hakcipta Terpelihara © 2022 Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara Paparan terbaik menggunakan IE versi 8.0 ke atas & Firefox 3.0 ke atas dengan resolusi minima 1024 x 768